Majalah al-Islah: Pembawa suara pembaharuan PAS

- Advertisement -

PENERBITAN dan media cetak merupakan nadi yang penting dalam menyampaikan pemikiran Islam kepada masyarakat, terutama bagi masyarakat abad ke-20, sebelum kemunculan era digital dan media sosial elektronik. Prof William Roff, seorang pengkaji kebangkitan Nasionalisme Melayu, telah memilih tahun penerbitan majalah al-Imam pada 1906 sebagai titik mula kebangkitan bangsa ini. Sejak terbitnya al-Imam pada 1906, telah muncul akhbar-akhbar yang membawa suara pembaharuan Islam seperti Neracha (1910), Tunas Melayu (1913), Pengasuh (1916), al-Ikhwan (1926) dan Saudara (1934). Melalui akhbar-akhbar ini, bukan sahaja idea-idea pembaharuan diangkat, tetapi juga pembentukan semangat kebangsaan dan perjuangan kemerdekaan dinyalakan. Salah satu majalah yang menyambung lidah pembaharuan ini ialah al-Islah yang diterbitkan di Pulau Pinang pada 1970.

Pengasas majalah ini, Ustaz Haji Yusof bin Abdullah Nordin ar-Rawi atau lebih dikenali sebagai Pak Haji Yusof Rawa (1923-2000) adalah anak kelahiran Pulau Pinang berketurunan Rao (atau Rawa). Beliau mendapat pendidikan Inggeris di Pulau Pinang sebelum mendalami agama di Makkah (1936-1946) dan mendapat ijazah Takhasus ad-Diini dari Maahad al-Falah, Makkah. Beliau terkenal sebagai seorang ahli perniagaan, selain reformer dan ahli politik Islam. Beliau menyertai PAS sejak 1952 dan dilantik sebagai Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang pada 1959, sebelum diangkat sebagai Yang Dipertua Agung PAS pada 1983. Jawatan terakhir beliau dalam PAS ialah Mursyidul Am PAS (1987-1994). Beliau juga pernah menjadi Timbalan Menteri Perusahaan Utama dan Duta Besar ke Tehran pada 1970-an. Beliau adalah satu-satu orang yang pernah menewaskan Dr Mahathir Mohamed dalam Pilihan Raya Umum, iaitu pada 1969 di Kota Setar Utara.

Majalah al-Islah yang diasaskan oleh beliau merupakan manifestasi pemikiran pembaharuan setelah beliau terdedah dengan idea-idea reformasi Islam ketika bermukim di Makkah. Beliau terpengaruh dengan pemikiran Hassan al-Banna dan Syed Qutb ketika di sana, selain turut mengikuti pemikiran beberapa reformer yang lain. Setelah pulang ke Tanah Melayu pada 1947, beliau menyertai Madrasah al-Mashoor sebagai guru, penulis buku teks dan pengelola madrasah reformis itu. Dengan penglibatan beliau dalam PAS sejak 1952, pemikiran pembaharuan beliau disalurkan secara berjemaah dalam organisasi politik Islam ini.

Salah satu langkah penting yang diambil oleh beliau selaku penerbit buku di bawah Maktabah Haji Abdullah Nordin ar-Rawi ialah menerbitkan majalah ‘al-Islah’ yang bermaksud ‘pembaharuan.’ Majalah ini diterbitkan pertama kali pada akhir tahun 1389H bersamaan Februari 1970 dengan wawasan “mengharapkan Hijriyah 1390 dijadikan tahun berdakwah” dan meletakkan sasaran supaya gerakan dakwah lebih cergas dan dinamis berbanding tahun-tahun sebelumnya.

Pada asasnya, majalah ini diterbitkan sebanyak lima jilid (setahun satu jilid) antara 1970 hingga akhir 1974. Ia diterbitkan secara berkala dwi mingguan yang menjadikan ia berjumlah 24 keluaran pada setiap jilid (tahun). Majalah al-Islah Jilid 1 Bilangan 1 diterbitkan pada 15 Februari 1970 bersamaan 9 Zulhijjah 1389. Edisi terakhirnya dikatakan pada Jilid 5, di mana ia berakhir sekitar Ogos 1974. Antara faktor yang ‘membunuh’ al-Islah ialah kerana kesibukan politik dan pelantikan Pak Yusof Rawa sebagai Timbalan Menteri, kemudiannya Duta Besar, telah menyebabkan majalah ini terkubur selepas Pilihan Raya Umum 1974.

Agenda reformasi pada majalah ini terbayang apabila terbitan pertamanya mencatatkan ayat al-Quran Surah Hud ayat 88 yang bermaksud “Aku hanya bertujuan hendak memperbaiki sedaya upayaku…” Untuk membawa agenda reformasi ini, ia telah menyiarkan tulisan Syed Qutb, Sheikh Mahmud Syaltut dan Ali Ahmad Bakhtiar, selain beberapa nama pena iaitu Tok Sheikh, Ibnu ar-Rawi dan Pak Mujahid yang ketiga-tiganya dipercayai Pak Yusof Rawa sendiri. Majalah ini turut mengangkat tokoh reformis seperti Kiyai Ahmad Dahlan, Muhammad Natsir, Sheikh Abu Bakar al-Asy’ari dan Dr Burhanuddin al-Halmy sebagai tokoh tauladannya. Antara isu-isu agama yang diangkat isu pendidikan Islam, adab berdakwah, tokoh reformasi, tafsir al-Quran, cara hidup Nabi S.A.W, pengharaman arak, larang kecewa dan bunuh diri, ibadat dan lain-lain.

Yang paling menarik ialah apabila majalah ini turut menyentuh soal politik semasa, isu-isu pemikiran Islam dan juga ancaman kepada umat Islam. Misalnya, dalam keluaran pertama, al-Islah telah mengulas kenyataan Presiden Umno, Tun Abdul Razak tentang “Melayu Mesti Ramai Anak,” iaitu sebagai reaksi terhadap Peristiwa 13 Mei 1969. Al-Islah mengkritiknya dengan mengatakan bahawa 13 Mei akan berlaku banyak kali jika dasar kerajaan tidak menjaga kepentingan orang Melayu. Pada 1971, al-Islah telah mendedahkan tentang konspirasi Yahudi ke atas seluruh manusia, mengulas tentang budaya hidup Melayu yang tidak bertepatan dengan Islam, mengungkap ancaman Komunis di beberapa negara Asia dan juga kedudukan semasa negara-negara umat Islam.

Al-Islah juga turut menyiar tulisan Prof Zulkifli Mohamad mengenai Kebolehupayaan Islam memerintah; tulisan Ustaz Wan Mustafa Rusydi Akidah Islam menerusi politik; tulisan Maulana Abu Hassan an-Nadwi mengenai Peralihan kepada Islam daripada jahiliyah; tulisan Prof Zafarul Hassan mengenai Kenapa kita beragama; tulisan Syed Qutb mengenai Pembentukan masyarakat Islam; tulisan Abul A’la al-Mawdudi mengenai Kerohanian Islam; tulisan Ustaz Yaakub Abu Hassan mengenai Modernisasi dan Islamisasi; Isu Liberal dan perjuangan hak asasi manusia oleh Tok Sheikh dan lain-lain yang merupakan idea-idea pembaharuan yang penting bagi masyarakat yang baru merdeka.

Peranan besar yang dimainkan oleh al-Islah ini ialah menampung media PAS yang tergantung kegiatannya akibat pergolakan politik pasca 13 Mei 1969, selain membawa agenda pembaharuan pemikiran Islam kepada masyarakat. Sebagai pemimpin kanan PAS, peranan Pak Yusof Rawa melalui al-Islah pernah dikritik oleh pemimpin kerajaan kerana dikatakan ‘bias’ kepada PAS. Namun begitu, sikap ‘bias’ kepada PAS yang ditohmah kepada al-Islah adalah tidak benar, sebaliknya kerana al-Islah dan PAS mempunyai persamaan dari segi dukungan terhadap al-Quran dan Sunnah, sehingga gagasan pemikiran kedua-duanya mempunyai persamaan. Kerana itulah, secara tidak rasmi, ramai orang melihat bahawa al-Islah adalah lidah PAS.

MOHD FADLI GHANI
Ketua Lajnah Sejarah dan Arkib, Sidang as-Sabiqun PAS Pusat – HARAKAHDAILY 7/1/2020

- Advertisement -
- Advertisement -