Ayam sabung DAP cuba taji teman sereban

- Advertisement -

ISU peletakan jawatan Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik sepatutnya menjadi bahan buat parti pembangkang. Kecekapan Kerajaan Pakatan Harapan mengurus kerajaan boleh dipertikaikan apabila anggota Kabinetnya ‘dipaksa’ melepaskan jawatan dalam tempoh hanya 20 bulan.

- Advertisement -

Tetapi yang kelihatan galak dan bersungguh menangguk di air keruh bukannya pembangkang, rupanya sesama PH sendiri. DAP umpamanya membiarkan ayam sabungnya, Ronnie Liu, AJK DAP Pusat yang juga ADUN Sg Pelek untuk mengambil kesempatan dari isu ini sehingga mencetuskan kemarahan sesama komponen PH.
Ronnie mahu isu kekosongan jawatan Menteri Pendidikan dibincangkan oleh pimpinan PH sebelum Perdana Menteri mengumumkan penggantinya. Ini jelas mencabar kuasa Perdana Menteri dan Ronnie seakan tidak peduli.

Ronnie bukannya tidak tahu bahawa Perdana Menteri punya prerogatif menurut Perlembagaan Persekutuan untuk menasihati Yang Dipertuan Agong berkaitan pelantikan anggota Jemaah Kabinet. Perdana Menteri tidak perlu berbincang dengan mana-mana pihak. Tambahan pula Dr Maszlee adalah dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), dan mengikut konvensyen sejak zaman BN lagi, mana-mana kekosongan dalam Kabinet diisi oleh Perdana Menteri dari kalangan parti yang diwakili penyandang sebelumnya.

Sikap Ronnie ini bukan baru kerana sebelum ini banyak lagi kontroversi yang tercetus hasil dari tindak-tanduk beliau yang mahu menunjukkan betapa DAP adalah ‘abang besar’ dan paling berkuasa dalam Kerajaan PH.

Ronnie pernah menganggap tindakan Bersatu menerima wakil-wakil rakyat Umno yang melompat menyertai parti mereka seumpama pemungut sampah. Malah Ronnie pernah mendakwa yang PH tidak perlukan Bersatu jika mereka tidak mematuhi semangat perjuangan PH.

Beliau juga pernah menuntut agar Tun segera melepaskan jawatan Perdana Menteri kepada Anwar Ibrahim sebagaimana kononnya telah dipersetujui.

Segala serangan dan kenyataan bongkak yang dikeluarkan Ronnie itu sesungguhnya mencerminkan keraguan DAP terhadap kepimpinan Tun Dr Mahathir dan peranan Bersatu dalam PH.

Setiap kali DAP tidak berpuas hati, maka ketika itulah ayam sabungnya akan dilepaskan untuk menaji dan mengajar mereka yang tidak disenanginya. Anehnya keangkuhan DAP ini tidak mengenal batas, malah Perdana Menteri dan parti milik PM pun sanggup dicederakan jika dilihat melanggar kepentingan mereka.

Tindakan Ronnie Liu dan DAP ini adalah bukti hidup betapa besarnya pengaruh DAP dalam kerajaan, sekali gus menunjukkan bahawa parti-parti dalam PH sebenarnya tunduk dan melutut pada ‘abang besar’ yang sebenarnya paling berkuasa ketika ini.

ROSLAN SHAHIR MOHR SHAHIR – HARAKAHDAILY 7/1/2020

- Advertisement -