Waspada keselamatan di perairan Laut China Selatan

- Advertisement -

KEMUNCULAN sebuah kapal peronda China di beting Hempasan Bantin, satu beting dalam gugusan beting Patinggi Ali beberapa hari lalu sewajarnya diberi perhatian yang serius oleh pihak Kementerian Pertahanan.

- Advertisement -

Selain itu, pesawat pengebom strategik juga kelihatan melalui kawasan yang terletak di dalam zon ekonomi ekslusif (EEZ) Malaysia itu seterusnya menganggu aktiviti eksplorasi minyak oleh kapal penggerudi laut dalam di sana.

Keadaan ini jelas mencetuskan rasa tidak senang ramai pihak yang melihat tindakan China tersebut sebagai sengaja mencetuskan kontroversi malah mereka sudah mula berani melanggar batasan perairan EEZ negara.

Tindakan meningkatkan rondaan tersebut bagaimanapun bukanlah perkara baharu. Pada November 2015, pihak berkuasa China pernah membolos beting Patinggi Ali dengan menyatakan hak atas faktor sejarah mereka terhadap tuntutan sembilan-garis putus (nine-dash lines) di Laut China Selatan.

Walau bagaimanapun, keputusan Tribunal Timbang Tara Antarabangsa pada 12 Julai 2016 telah menjelaskan pendirian bahawa tuntutan sembilan-garis putus tersebut adalah tidak sah serta tidak menepati perundangan laut antarabangsa.

Saya ingin turut menyatakan sokongan terhadap tuntutan baki kawasan pelantar benua Malaysia di bahagian utara Laut China Selatan Fasa 2 yang telah dikemukakan oleh Wisma Putra ketika ini.

Meskipun aspek diplomasi dan keamanan serantau amat wajar dititik beratkan oleh pihak Kerajaan, namun langkah berjaga-jaga dari segi keselamatan maritim perlu sentiasa diberi perhatian yang sangat serius khususnya di bahagian kawasan EEZ Malaysia di perairan Sarawak.

Dalam masa yang sama, Malaysia juga wajar mengekalkan kependudukan efektif (effective occupation) serta kawalan efektif (effective control) ke atas sesuatu wilayah Malaysia bagi mengekalkan kedaulatannya.

“Islam Memimpin Perpaduan”

YB HAJI AHMAD AMZAD HASHIM
Ahli Parlimen Kuala Terengganu
6 Januari 2020/ 10 Jamadilawwal 1441H – HARAKAHDAILY 6/1/2020

- Advertisement -