Prinsip ‘Takamul’ satukan PAS-Umno Kepala Batas

    - Advertisement -

    KEPALA BATAS: Sejarah terus dilakar dalam hubungan dua parti terbesar Melayu-Islam; PAS dan Umno bagi Parlimen Kepala Batas apabila menganjurkan Majlis Ta’aruf Kepimpinan di Dewan Wisma Umno, Kepala Batas, di sini semalam.

    - Advertisement -

    Penganjuran julung kali ini bertujuan merapatkan silaturahim sesama kepimpinan kedua parti, seterusnya membawa kepada permuafakatan dan persefahaman untuk berdepan PH di Kepala Batas khususnya dan DAP di Pulau Pinang ini.

    Yang DiPertua PAS Kawasan Kepala Batas, Bukhari Ghazali menjelaskan bahawa hubungan erat antara PAS dan Umno Kepala Batas sedia terjalin sebelum ini atas persetujuan bersama dalam isu-isu sensitif seperti RUU355 dan ICERD.

    “Pertemuan hari ini menjadi pemangkin kepada kerjasama dan persefahaman antara kita semua, bahkan dapat dirasai dan difahami oleh akar umbi. Jadi, rapatkan ukhuwah kita serta lebarkan tarbiyah dan dakwah bersama supaya ukuran keberjayaan bukan hanya kuantiti semata-mata malahan kualiti yang lebih utama,” ujarnya.

    Pengerusi Umno Bahagian Kepala Batas, Dato’ Seri Reezal Merican Naina Merican pula menyifatkan pertemuan ini adalah satu ikatan kekeluargaan yang kuat dalam membina Muafakat Nasional agar terus utuh, malah menjadi teras dan tunjang kekuatan di Kepala Batas.

    “Apa yang berlaku pada kita hari ini adalah takdir Allah S.W.T. Umno rebah setelah 60 tahun memerintah. Umno rebah di bumi ia dilahirkan iaitu Johor. Walau bagaimanapun, takdir Allah juga menyatukan dua gagasan terbesar di Malaysia ini.

    “Atas nama perjuangan serta kebangkitan dan kekuatan baru, maka kita akan jadikan PH hanyalah kerajaan sepenggal sahaja dan kita bersedia menawan semula Putrajaya pada PRU15 nanti,” katanya.

    Hubungan kedua parti ini telah diakui banyak pihak sebagai nikmat Allah S.W.T yang memberikan nikmat kelembutan hati kepada PAS dan Umno untuk saling bermanfaan dan sedia melaksanakan gerak kerja bersama atas prinsip takamul yakni saling melengkapi bagi manfaat agama, bangsa dan negara. – HARAKAHDAILY 6/1/2020

    - Advertisement -