PAS hulur bantuan dari rakyat kepada rakyat

- Advertisement -


BAGAN SERAI: Kebajikan kanak-kanak yang membesar dalam keluarga kurang berpendapatan serta anak-anak yatim seharusnya sentiasa dipelihara sebaiknya oleh masyarakat sekeliling.

- Advertisement -

“Melihat semua penerima menguntum senyuman dan bersorak gembira kerana mendapat kelengkapan sekolah yang baharu sedikit sebanyak meruntun hati semua pihak.

“Biarpun bantuan diberikan ini hanya kelihatan kecil sahaja, namun ia sedikit sebanyak merupakan tanda keprihatinan dan usaha PAS membantu masyarakat,” ujar Pengarah ‘Back to School 4.0’ Pusat Khidmat Gunung Semanggol, Ahmad Rosman Razali.

Menurutnya, seluruh penerima bantuan kali ini diberikan kupon bernilai RM80 untuk berbelanja keperluan sekolah masing-masing di kedai Perniagaan Ridzuan, Simpang, Taiping yang menawarkan harga istimewa melalui program ini.

ADUN Gunung Semanggol, Razman Zakaria berkata, hingga hari ini pihaknya masih menerima bantuan kewangan yang telah disumbangkan oleh orang ramai melalui Tabung Pusat Khidmat.

“Tabung dari rakyat itulah yang kami gunakan untuk sampaikan sumbangan kepada mereka yang memerlukan. Jika ikutkan masih banyak senarai yang layak menerima, namun 15 orang penerima pada hari ini adalah yang perlu kami beri keutamaan,” jelas Razman.

Ulasnya, sebagai wakil rakyat, beliau akan sentiasa menyantuni masyarakat dari semasa ke semasa kerana seorang pemimpin itu sewajarnya bertanggungjawab ke atas rakyat di bawah kepimpinannya.

Sementara itu, rata-rata penerima sumbangan BTS hari ini menyatakan rasa syukur atas keprihatinan wakil rakyat PAS yang sentiasa berusaha membantu masyarakat sebelum masing-masing pulang ke rumah dengan membawa kelengkapan sekolah yang baharu. – HARAKAHDAILY 6/1/2020

- Advertisement -