PAS dan hubungan awal dengan Ikhwanul Muslimin

- Advertisement -

IKHWANUL Muslimin merupakan gerakan Islam yang paling berpengaruh dan terkemuka di dunia, yang ditubuhkan dalam bulan Februari 1928, iaitu setelah kejatuhan Khilafah Othmaniyah. Pengasasnya, Ustaz Hassan al-Banna (1906-1949) merupakan seorang ulamak, pendakwah dan tokoh gerakan Islam yang terkenal di dunia. Gerakan Ikhwanul Muslimin disebutkan oleh Dr Muhammad Sayyid al-Wakil sebagai ‘pergerakan Islam terbesar abad ke-14H.’ Ia boleh dianggap sebagai rangkaian kebangkitan gerakan Islam di seluruh dunia yang terkesan dengan kemerosotan khalifah bermula dengan kemunculan Sarekat Islam di Indonesia pada 1905, All Indian Muslim League di India pada 1906 dan Ittihad Muhammadi di Turki pada 1909. Pasca kejatuhan khalifah, munculah Ikhwanul Muslimin di Mesir, Hizbul Istiqlal di Morocco, Jamaat Islami di India, Masyumi di Indonesia dan Hizbul Muslimin di Tanah Melayu.

Perubahan-perubahan politik dunia Islam selepas Perang Dunia Kedua telah membawa kepada pembunuhan Hassan al-Banna di Mesir, perang tiga segi ke atas gerakan Darul Islam pimpinan SM Kartosiwiryo di Indonesia, hukuman gantung ke atas Mawdudi di Pakistan dan pemenjaraan Ustaz Abu Bakar al-Baqir di Tanah Melayu. Pergolakan ini telah membawa kepada pengharaman Ikhwanul Muslimin di Mesir dan Hizbul Muslimin di Tanah Melayu. Ketika pemimpin Ikhwanul Muslimin memilih untuk bergerak secara senyap (bawah tanah), bekas-bekas pemimpin Hizbul Muslimin telah berjaya menubuhkan Persatuan Islam Se-Malaya (PAS) pada 23 Ogos 1951. Setelah itu, wujud kerjasama kedua-dua gerakan Islam ini pada akhir dekad 1950-an.

Hubungan terawal yang terbentuk di antara kedua-dua gerakan Islam ini ialah apabila dua pemuda Melayu, Zullifli Mohammad dari Perak dan Hassan Salleh dari Kelantan telah menjadi pengikut tetap kuliah Hadith Thulasa’ Ustaz Hassan al-Banna (kemudian diganti oleh Syed Qutb) di Mesir sejak akhir 1947. Zulkifli Mohammad kemudiannya dilantik sebagai Timbalan Yang Dipertua Agung PAS pada 1956, sedangkan Hassan Salleh pernah menjadi Ahli Jawatankuasa Kerja Agung PAS dan Ketua Dewan Ulamak PAS Wilayah Persekutuan pada dekad 1970-an dan 1980-an. Mereka berdua adalah pensyarah pengasas Kolej Islam Malaya (KIM) dan pernah menjadi guru kepada Dr Haron Din dan Dr Daeng Sanusi Mariok, dua tokoh PAS yang terkemuka. Seorang lagi tokoh PAS yang penting ialah Pak Haji Yusof Rawa, bekas Yang Dipertua Agung PAS. Beliau berada di Makkah (1938-1946) dan menerima pengaruh Ikhwanul Muslimin melalui pembacaan dan penglibatan beliau dalam gerakan pelajar di Makkah.

Di Tanah Melayu, selepas pembunuhan Ustaz Hassan al-Banna, Setiausaha Ikhwanul Muslimin Kaherah, Ustaz Taqiyuddin Qandil telah berhijrah ke negara ini dan berkhidmat sebagai guru bahasa Arab di Sekolah Arab Alawiyah, Arau sejak 1952. Beliau turut mengajar di Maktab Mahmud, Alor Setar, selain menjadi pendakwah bebas. Jawatan terakhir beliau ialah sebagai pensyarah di KIM. Ketika berada di Perlis dan Kedah, beliau telah membawa pengaruh Ikhwanul Muslimin kepada para pelajar. Di Perlis, dua tokoh muda yang paling banyak menerima pengaruh Ikhwanul Muslimin ialah Ustaz Abu Bakar Hamzah (kemudian menjadi Naib Yang Dipertua Agung PAS) dan Ustaz Ibrahim Yassin (bekas calon PAS PRU 1959 yang juga abang kepada Dato’ Hashim Jasin, Mursyidul Am PAS). Di Kedah, Ustaz Taqiyuddin mengendalikan tarbiyah di bawah Kesatuan Pelajar Agama Kedah (KPAK) yang berpusat di Maktab Mahmud. Tokoh-tokoh terlibat termasuklah Ustaz Jaiz Anwar (bekas Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat), Ustaz Jamaluddin Amini Marzuki (bekas Naib Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat) dan Ustaz Fadzil Mohd Noor (bekas Presiden PAS). Ustaz Taqiyuddin Qandil boleh dikatakan orang terawal yang menyusun tarbiyah haraki dalam PAS sejak 1954 sehingga terbentuknya Kesatuan Pelajar Agama Se-Malaya (KPAS).

Hubungan PAS-Ikhwanun Muslimin mulai menjadi rasmi dan lebih kukuh apabila Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Ustaz Abu Bakar Hamzah membuat kunjungan hormat dan membentukkan kerjasama gerakan Islam ke atas Ikhwanul Muslimin pada 1959 sempena Persidangan Pemuda Afro-Asia di Kaherah. Menurut Ustaz Abu Bakar Hamzah, kunjungannya kepada Ikhwanul Muslimin telah membawa kepada ‘penghadiahan’ sejumlah kitab karya Ustaz Hassan al-Banna yang kemudiannya dijadikan rujukan tarbiyah oleh PAS mulai 1960-an. Ustaz Abu Bakar Hamzah telah mengambil inisiatif untuk menterjemahkan sebuah kitab bertajuk ‘Nizam al-Usar wa Risalah at-Taalim’ pada 1962 yang diberi tajuk sebagai ‘Peraturan dan Arahan,’ terbitan Pustaka Islam, Kota Bharu. Buku ini pada asalnya adalah gabungan dua karya penting Ustaz Hassan al-Banna iaitu ‘Usul 20’ dan ‘Risalah at-Taalim‘. Pada 29 Disember 1964, buku ini telah diangkat secara rasmi oleh Dewan Pemuda PAS Pusat sebagai rujukan tarbiyah dan perkaderan PAS. Dalam konteks gerakan Islam di Malaysia, PAS adalah pendukung terawal yang mendukung perjuangan sebenar Ikhwanul Muslimin.

MOHD FADLI GHANI
Ketua Lajnah Sejarah dan Arkib, Sidang as-Sabiqun PAS Pusat – HARAKAHDAILY 6/1/2020

- Advertisement -
- Advertisement -