PAS Bagan Serai selami derita rakyat

- Advertisement -

BAGAN SERAI: PAS Kawasan Bagan Serai sentiasa memastikan agar tidak terlepas dari tanggungjawab menyantuni asnaf dan golongan kurang berkemampuan apabila menerima aduan dari orang ramai yang tinggal sekitar kawasan ini.

- Advertisement -

Pengerusi Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan (LKK) PAS Bagan Serai, Ahmad Mokhtar berkata, usaha ini digerakkan pihaknya bagi melaksanakan tanggungjawab insan dalam memurnikan amalan tolong-menolong dalam kehidupan seharian.

Hadir sama di dalam program ziarah kebajikan ini ialah Adun Gunung Semanggol, Razman Zakaria bersama pasukan Pusat Khidmat Gunung Semanggol telah turun padang bagi menyantuni masyarakat di sini.

“Program ziarah kali ini amat menyentuh hati saya kerana melihat kesempitan hidup sebuah keluarga yang tinggal di Parit J Matang Jelutong. Mereka hidup dalam kesusahan di mana salah seorangnya merupakan anak yang kelainan upaya,” terang Razman.

Sarimah Said, 54, ketika ditemui berkata, beliau kini menyara tiga anaknya seorang diri dan bergantung sepenuhnya pendapatan hidup dengan hasil jualan gerai diusahakannya di sekitar kawasan rumah.

“Anak sulung saya, Mohammad Firdaus Mohd Syukor, 18, mengalami kecacatan fizikal iaitu membesar dengan kedua kakinya berbentuk silang sejak lahir. Dia tidak boleh berjalan dan perlu memakai lampin sejak lahir hingga hari ini,” adunya.

Beliau turut menyatakan perasaannya yang penuh hiba kerana terpaksa menyara anak-anak dalam keadaan jualannya yang kadang kala tidak mendapat pulangan hasil seperti diharapkan.

“Bukan itu sahaja, anak kedua saya yang bakal menghadapi peperiksaan SPM tahun ini, juga terpaksa mengorbankan waktu belajarnya untuk membantu saya berniaga di tepi jalan. Untung jualan ada, namun terlalu kecil jumlahnya untuk saya menyara anak-anak,” tambah beliau.

Melalui program ziarah ini, Razman yang juga Pesuruhjaya PAS Perak itu telah menyerahkan sejumlah sumbangan hasil infak orang ramai ke Tabung Pusat Khidmat Gunung Semanggol kepada keluarga ini.

“Kami mengalu-alukan sebarang bentuk sumbangan dan infak orang ramai bagi menyalurkan sumbangan ke Pusat Khidmat Gunung Semanggol. Insya-Allah melalui hasil infak, kita akan membantu golongan yang susah seperti keluarga ini,” ujar Razman.

Keprihatinan dan sumbangan orang ramai amat diperlukan bagi melaksanakan usaha murni ini dengan sumbangan ke akaun Maybank 558248207682 atas nama Tabung Kebajikan Rakyat.

Atau boleh menghubungi nombor berikut, 0102293554 (Rosman), 01159814227 (Abu Bakar) atau 0175778047 (Hilmi). – HARAKAHDAILY 6/1/2020

- Advertisement -