Malaysia perlukan pakej rangsangan ekonomi

Foto hiasan.
- Advertisement -

MELIHAT kepada unjuran pertumbuhan ekonomi yang keluarkan oleh Lajnah Ekonomi, Hartanah dan Pembangunan Usahawan PAS Pusat, kami berpandangan adalah amat mendesak untuk Kerajaan mempertimbangan pakej rangsangan melalui pump-priming, bagi merangsang ekonomi negara bergerak ke hadapan.

- Advertisement -

Berdasarkan faktor kesan pekali impak tinggi, kami mencadangkan Kerajaan menggunakan pakej rangsangan ini untuk membangunkan kemudahan awam, terutamanya pembangunan rumah mampu milik (RMM). Berdasarkan impak ekonomi, pembangunan RMM akan mampu untuk memacu agregat permintaan pada kadar yang substantif untuk jangka masa pertengahan di antara lima ke sepuluh tahun.

Pakej rangsangan yang sama juga boleh digunakan oleh Kerajaan untuk mewujudkan lebih banyak penawaran melalui suntikan kecairan kepada sistem perbankan tempatan. Bank pula seharusnya menyambut langkah ini dengan memudahkan penawaran pinjaman kepada pengguna, terutama ke arah pemilikan rumah.

Ini sekali gus akan menyokong iklim dasar kewangan semasa negara yang mengekalkan kadar asas semalaman (OPR) pada 3 peratus dan menurunkan keperluan rezab berkanun (SRR) kepada 3 peratus.

Cadangan kami bagi penggunaan pakej rangsangan untuk pembangunan RMM ini juga akan mampu untuk menyokong dua elemen penting dalam pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) iaitu perbelanjaan kerajaan dan perbelanjaan pengguna.

Ini juga adalah sejajar dengan Dasar Perumahan Mampu Milik Negara yang mensasarkan satu juta RMM antara tahun 2018 sehingga tahun 2028, seterusnya menyokong kearah merealisasikan sasaran ini.

MAZLI NOOR
Timbalan Pengerusi 2
Lajnah Ekonomi, Hartanah & Pembangunan Usahawan PAS Pusat.

10 JamadilAwal 1441 | 6 Januari 2020 – HARAKAHDAILY 6/1/2020

- Advertisement -