‘Entah bila janji Manifesto PH akan ditunaikan?’

    Rakyat terus terhimpit kos sara hidup meningkat

    - Advertisement -

    LARUT: Kehidupan rakyat kini kian tersepit dalam suasana ekonomi yang semakin mencabar memasuki tahun 2020 menyebabkan pelbagai usaha dibuat bagi mengatasi peningkatan kos sara hidup.

    - Advertisement -

    Ziarah kebajikan jentera PAS Kawasan Larut berterusan mengunjungi mereka di beberapa kampung terpilih termasuk Kampung Kayangan, di sini melibatkan 50 keluarga di bawah Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT).

    “Apa yang diharapkan rakyat adalah pendapatan yang diperolehi dapat menampung kos perbelanjaan harian sudah memadai disamping menanti entah bila janji Manifesto PH akan ditunai.

    “Dalam situasi ini kita berharap pihak kerajaan segera mewujudkan langkah dan pelan tindakan yang komprehensif agar kesempitan hidup rakyat kebanyakan dapat diatasi,” ujar ADUN Kubu Gajah, Ustaz Khalil Yahaya.

    Beliau yang juga Ketua Penerangan Ulamak PAS Perak ditemui mengulas perkara tersebut selepas mendirikan Solat Jumaat di Masjid Pantai Besar yang diimamkan oleh Rahim Noh, di sini kelmarin dahulu.

    Ustaz Khalil turut didatangi para jemaah mengadu permasalahan serta kesulitan dihadapi mereka termasuklah bekalan air bersih dan juga ada yang bertanyakan mengenai peruntukan tertentu buat mereka.

    Disamping itu, melalui sokongan Dewan Pemuda dan Dewan Muslimat PAS Kawasan Larut serta sumbangan orang ramai membolehkan Pusat Khidmat DUN Kubu Gajah terus menyantuni penduduk menyampaikan bantuan kebajikan.

    Pusat Khidmat DUN Kubu Gajah juga mengalu-alukan sumbangan yang boleh disalurkan ke akaun Maybank 158051911775 atas nama Dana Prihatin Kubu Gajah. – HARAKAHDAILY 6/1/2020

    - Advertisement -