Pengganti Maszlee: LGE cuba ‘dictate’ PM

- Advertisement -

APA ke halnya dengan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, ini sampaikan mahu pengganti Dr Maszlee Malik sebagai Menteri Pendidikan dibincang dalam Mesyuarat PH terlebih dahulu kerana DAP kononnya ada pandangan sendiri berhubung perkara berkenaan?

Pertamanya, mengikut Perkara 43 (2) (b) Perlembagaan Persekutuan, Menteri hendaklah dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong atas nasihat Perdana Menteri, bermakna lantikan ini adalah kuasa budi bicara Perdana Menteri tanpa perlu berunding dengan mana-mana pihak.

Keduanya, jika pun pengganti Dr Maszlee mahu dirundingkan, yang perlu dirunding oleh Perdana Menteri hanyalah sesama pemimpin Bersatu sahaja kerana jawatan Menteri Pendidikan adalah kuota Bersatu yang tidak memerlukan campur tangan parti-parti lain.

Tidakkah Lim Guan Eng tahu bahawa cubaan beliau campur tangan dalam urusan lantikan penjawat daripada Bersatu ini boleh mengundang Bersatu untuk turut campur tangan dalam urusan lantikan penjawat daripada DAP yang seterusnya boleh menterburaikan PH?

Titik-tolak keterburaian kerjasama PAS dan Umno dalam BN pada 1977 dulu pun berpunca daripada cubaan campur tangan dalam urusan lantikan penjawat daripada parti rakanlah, bermula daripada campur tangan Umno dalam urusan lantikan Menteri Besar Kelantan.

PAS Kelantan elok-elok mengundi memilih Wan Ismail Ibrahim sebagai Menteri Besar Kelantan dalam mesyuarat khasnya pada 12 September 1974, tiba-tiba Umno mahukan Adun Tendong, Datuk Mohamad Nasir, yang terpaksa diterima dengan berat hati oleh PAS Kelantan.

Ekoran ‘precedent’ yang dibuat oleh Umno inilah maka PAS Pusat, dalam mesyuarat khasnya pada 15 Januari 1976 telah mendesak supaya Tan Sri Ghazali Shafie dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri selepas pemergian mengejut Tun Razak Hussein pada 14 Januari 1976.

Bila Umno menolak desakan PAS ini, dan tokoh lain dilantik oleh Umno ke jawatan Timbalan Perdana Menteri, maka bermulalah masalah besar dalam kedudukan PAS sebagai parti komponen BN yang berakhir dengan terburainya kerjasama PAS dan Umno pada 17 Disember 1977.

Siapa Lim Guan Eng ini untuk men‘dictate’ Perdana Menteri?

Atau apakah Lim Guan Eng juga mahu melihat PH terburai?

DR KAMARUL ZAMAN YUSOFF – HARAKAHDAILY 5/1/2020

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS. Segala risiko akibat penyiaran ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.

- Advertisement -
- Advertisement -