Menteri Pendidikan mesti Islam, Melayu

- Advertisement -

KOTA BHARU: Individu yang layak mengantikan kekosongan jawatan Menteri Pendidikan merupakan orang Islam dan Melayu, kata Timbalan Presiden PAS Dato’ Tuan Ibrahim Tuan Man.

- Advertisement -

Namun katanya kelayakan yang paling penting ialah hala tuju serta mempunyai komitmen bagi memperkasakan sistem pendidikan negara.

“Kita tidak tahu siapa yang akan dilantik tetapi harapan kita pendidikan satu benda penting kena ada asas sepadu antara spiritual, mental dan fizikal.

“Tidak boleh hanya fokus kepada pencapaian fizikal dan mentaliti tanpa kekuatan spiritual. Cabaran besar anak-anak sekarang perlu satu sistem pendidikan kukuh berteraskan Islam,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis pecah tanah pembinaan bangunan dua tingkat Pasti al Husna Kedai Dewan Beta di sini semalam.

Turut hadir Pegawai Khas Ahli Parlimen Kubang Kerian Ustaz Mohamad Daud Omar; Ketua Pemuda Dun Salor Saizol Ismail; Setiausaha Majlis Tindakan Dun Salor, Hassan Ibrahim dan Pengerusi Pasti al Husna Mohd Nuri Mat Yaakob.

Tuan Ibrahim yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian berkata, perletakan jawatan itu dianggap sebagai satu kejadian pelik kerana berlaku ketika musim sekolah baru bermula.

Khamis lepas Dr Maszlee Malik membuat kejutan apabila mengumumkan meletak jawatan dengan memulangkan jawatan Menteri Pendidikan kepada perdana menteri. – HARAKAHDAILY 5/1/2020

- Advertisement -