Gugur Dr Maszlee misi penyelamat maruah PH?

- Advertisement -

AGAK menarik apabila istilah ‘memulangkan jawatan’ disebut Dr Maszlee Malik berkali-kali. Ia seakan menjelaskan konflik sebenar yang berlaku dalam kerajaan Pakatan Harapan (PH).

- Advertisement -

Sehingga hari ini sudah dua kali disebut istilah itu. Kali pertama ketika mengumumkan meletak jawatan Khamis lepas. Dan diulang pula hari ini. Dr Maszlee berucap di hadapan penyokongnya di Simpang Renggam.

Ia seakan menghantar isyarat jelas kepada DAP. Sedangkan DAP berharap pengganti Dr Maszlee dibincang bersama PH.

“Saya rasa lebih baik kita bincang bersama. Semua ada pandangan, lebih baik kita bincang,” kata Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng seperti dilapor media.

Kenyataan pemimpin DAP itu seperti ada udang di sebalik batu. Sedangkan sebelum ini disebut nama Teo Nie Ching. Pemimpin DAP itu merupakanTimbalan Menteri Pendidikan.

Namun Bersatu berpendirian sebaliknya. Ketua Penerangannya Dr Radzi Jidin menjelaskan tidak perlu mesyuarat PH memilih Menteri Pendidikan baharu.

Menurutnya Perkara 43(2)(6) Perlembagaan Persekutuan menyebut atas nasihat Perdana Menteri, Yang di-Pertuan Agong hendaklah melantik menteri daripada kalangan ahli-ahli mana-mana satu Majlis Pimpinan.

“Ini bermakna adalah menjadi prerogatif Perdana Menteri untuk menasihatkan Yang di-Pertuan Agong tentang pelantikan seseorang menteri,” katanya pada kenyataan media.

Jelas konflik PH tidak mampu disembunyikan lagi. Sikap abang besar DAP makin tidak disenangi Tun Dr Mahathir Mohamad.

Perdana Menteri terpaksa membuat keputusan drastik. Kembali ke zaman diktator seperti 1981-2003. Malah ramai berhujah prinsip kepimpinan seperti itu begitu mendesak sekarang.

Bernard (1985) mendefinisikan gaya kepimpinan sebagai suatu pengaruh ke atas pekerja bagi mencapai matlamat organisasi.

Menurut Thoha pula kepimpinan ditakrif sebagai perilaku diguna pemimpin bagi mempengaruhi fikiran, perasaan, sikap dan perilaku orang di bawahnya. Inilah yang cuba diterjemah perdana menteri sekarang.

Puji pemimpin authoritarian

Malah pada 11 Oktober 2004 Dr Mahathir mendakwa demokrasi tidak akan menghasilkan kerajaan yang kuat. Sebaliknya beliau memuji pemimpin authoritarian seperti Meiji di Jepan, Chiang Kai Shek di Taiwan, Deng Xiao Peng di China. Selain itu Park Chung Hee di Korea Selatan.

Pernah juga Ahli Parlimen Permatang Pauh Nurul Izzah Anwar merujuk Dr Mahathir ‘bekas diktator’. Maka dalam situasi sekarang perdana menteri seakan menjelma semula kepemimpinan authoritarian.

Malah cerminan authoritarian dikatakan bermula pada 10 Mei 2018.

Ketika itu perdana menteri dikatakan berminat menerajui Kementerian Pendidikan. Namun selepas itu beliau u-turn. Pendokong PH berhujah tindak tanduk terbabit bercanggah manifesto PH.

Akhirnya jawatan tersebut diserah kepada Dr Maszlee. Sebaliknya drama yang dipertonton sekarang rakyat dimomok Dr Maszlee meletak jawatan. Malah Pejabat Perdana Menteri menyatakan Dr Maszlee mengemukakan surat perletakan jawatan.

Sebaliknya versi bekas menteri terbabit, dia hanya memulang jawatan Menteri Pendidikan kepada perdana menteri.

Apa yang berlaku itu menjawab ura-ura rombakan kabinet. Nama Dr Maszlee disebut ramai. Dr Mahathir juga sedar ramai pemimpin DAP tidak senang terhadap ahli parlimen Simpang Renggam terbabit.

Antaranya veteran DAP. Lim Kit Siang banyak melatah. DAP dikatakan berusaha keras menyingkir Dr Maszlee.

Seorang lagi pemimpin DAP, Teng Chang Khim juga pernah menggelar Dr Maszlee sebagai bodoh. Begitu juga Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang, P Ramasamy. Dia menyifatkan Dr Maszlee serupa pemimpin Umno.

Walhasilnya gembira DAP mungkin tidak sampai ke petang. Kementerian Pendidikan sudah dipulangkan kepada perdana menteri.

Kita mahu lihat babak baharu isu khat jawi. Ke mana hujung jatuhnya. Mampukah Dong Zong terus bertepik. Atau kerajaan PH u-turn lagi.

Apa yang berlaku sekarang dihidu rapat Dato’ Seri Najib Razak. Ujarnya Dr Maszlee melepaskan jawatan ‘secara paksaan’.

Malah Dr Maszlee juga seperti jujur mengakui. Luahnya dia dilihat menimbulkan banyak krisis kepada kepimpinan. Antaranya isu khat jawi, internet sekolah dan sarapan percuma.

Penyudahnya Dr Mahathir jengok semula teori authoritarian. Langkah drastik itu perlu bagi mengembalikan sokongan rakyat terhadap PH. Lebih-lebih lagi Pilihan Raya Kecil Kimanis 18 Januari ini.

Pengerusi PH itu berharap PH menang mudah. Lagipun BN hanya menang 156 kerusi pada 9 Mei 2018. Sekiranya misi Kimanis gagal lagi, suara desakan peralihan kuasa tambah kencang. – HARAKAHDAILY 5/1/2020

- Advertisement -