Gelombang AKIFI membumi di Zon Selatan Sarawak

- Advertisement -

KOTA SAMARAHAN: Dewan Muslimat PAS Malaysia terus menyemarakkan gerak kerjanya menerusi siri jelajah Gelombang AKIFI yang sampai di Zon Selatan Sarawak, semalam.

- Advertisement -

Selain Dewan Muslimat PAS Kawasan Kota Samarahan sebagai tuan rumah, program itu turut menghimpunkan anggota Muslimat daripada PAS Kawasan Petra Jaya, Sadong Jaya dan Santubong.

Program dipimpin sendiri Ketua Pengarah Akademi Pengajian Saidatina Aisyah (APSA), Ustazah Dr Uswah Tahir yang diadakan di Taman Palm Villa, di sini.

Selesai solat Maghrib berjemaah, majlis diteruskan dengan bacaan surah Yaasiin, zikir munajat, solat Isyak berjemaah dan solat Hajat yang dipimpin oleh Ustazah Dr Uswah.

AKIFI merupakan singkatan daripada Alim, Haraki dan Sufi yang diinisiatifkan oleh Muslimat PAS untuk melahirkan anggota aktif di bidang siyasah tanpa mengabaikan tarbiyah dalam diri.

Turut hadir, Ahli Jawatan Kuasa Lajnah Tarbiah PAS Pusat, Ustazah Nurmazidah Yahya.

“Walaupun PRU15 tidak diumumkan lagi, kita tetap perlu teruskan gerak kerja kita sebagai persediaan untuk PRN dan PRU yang akan datang,” ujar Ustazah Nurmazidah.

Program tersebut telah membentangkan struktur J12K dan memperkenalkan Akademi Pengajian Saidatina Aisyah (APSA) kepada seluruh Muslimat yang hadir.

Taujihat ringkas yang disampaikan oleh Ustazah Nurmazidah juga menerangkan mengenai ciri-ciri Jentera 12,000 atau J12K, berdasarkan hadith yang diriwayatkan oleh Abu Daud, Tirmidzi dan Ahmad.

“Sebaik-baik sahabat adalah empat orang, sebaik-baik pasukan kecil adalah yang berjumlah 400 orang, sebaik-baik bala tentera adalah yang berjumlah 4,000 orang dan pasukan yang berjumlah 12,000 orang tidak akan dikalahkan kerana jumlah yang sedikit,” maksud hadis itu

Majlis berakhir dengan salam mahabah antara Muslimat yang hadir dan para peserta menunjukkan semangat untuk momentum gerak kerja jentera ke arah PRU 15 terus bersemarak di Bumi Kenyalang. – HARAKAHDAILY 5/1/2020

- Advertisement -