Pemimpin PH hanya perjuang keselesaan peribadi

    - Advertisement -

    PARIT BUNTAR: Pesuruhjaya PAS Negeri Perak, Razman Zakaria menyelar tindakan pemimpin PH yang di saat rakyat dihimpit kesusahan hidup, namun mereka sewenangnya memikirkan soal keselesaan pihak kerajaan.

    Beliau yang juga ADUN Gunung Semanggol berkata sedemikian dalam program bersama Pemuda PAS Kawasan Parit Buntar di perkarangan PASTI Al Mujahideen Kampung Kedah, di sini baru-baru ini.

    Mengulas tindakan Jemaah Menteri membincangkan kelulusan kontrak untuk kenderaan rasmi kerajaan, hal itu bidasnya, tidak wajar kerana ketika ini kerajaan seharusnya memberi perhatian kepada bebanan rakyat.

    “Sebagai seorang wakil rakyat di kawasan pesawah, saya amat menjiwai penderitaan pesawah yang mengalami kemerosotan lebih 70 peratus hasil padi. Lalu, bagaimana pesawah mahu menyara keluarga masing-masing terutamanya di awal persekolahan yang memakan belanja yang tinggi ini?” soal beliau.

    Ulasnya, perbincangan pihak kerajaan dalam isu ini amat tidak relevan, malah tidak mempunyai dasar yang jelas dalam membantu industri automotif tempatan, sebaliknya pasti melukakan hati rakyat jelata khususnya para petani yang hidup serba kekurangan.

    “Rakyat telah mengangkat mereka ke atas (menjadi pemimpin). Kepercayaan dan undi yang diberikan kepada mereka sehingga menjadi pemimpin adalah kerana rakyat mahu suara mereka didengari, bukan yang berlaku seperti hari ini,” ujar Razman. – HARAKAHDAILY 4/1/2020

    - Advertisement -
    - Advertisement -