‘Muslimat Berselawat’ bawa dakwah di pentas hiburan

- Advertisement -

BUKIT KATIL: Lajnah Kebudayaan Kesenian dan Rekreasi (LKKR) Dewan Muslimat PAS Negeri Melaka telah menganjurkan Program Muslimat Berselawat bertempat di Dewan Muallim Bukit Katil, di sini hari ini.

- Advertisement -

Dengan tema ‘Lau Kana Bainana Ya Habib’ penganjuran program tersebut mengetengahkan konsep dakwah di pentas hiburan di samping memupuk rasa kecintaan terhadap Rasulullah S.A.W.

Program dibuka dengan ucapan aluan oleh Pengerusi Lajnah Kebudayaan, Kesenian dan Rekreasi Muslimat Melaka, Nurazira Anuar diikuti ucapan Ketua Dewan Muslimat PAS Negeri Melaka, Aziah Mad Saad.

Aziah dalam ucapannya berkata, hiburan adalah salah satu cara untuk mendekati masyarakat, namun hiburan yang mahu diketengahkan mestilah berlandaskan Al-Quran dan As-Sunnah.

Pengisian program seterusnya dimulakan dengan slot tausiah asatizah bersama Ustazah Wafa Ahmad yang telah mengupas tajuk ‘Islam dan Hiburan‘.

Aktiviti kemuncak pada program tersebut ialah pertandingan nasyid dari wakil-wakil Muslimat kawasan.

Sebanyak lima persembahan telah dipersembahkan diikuti persembahan deklamasi puisi dan qasidah dari pihak penganjur.

Program diakhiri dengan ucapan penutup oleh Pengerusi LKKR Dewan Muslimat PAS Malaysia, Mardiyah Hayati Zolkeplai serta majlis penyampaian hadiah kepada pemenang.

Turut hadir dalam program Muslimat Berselawat, Dato Latifah Omar selaku Ketua Wanita Umno Melaka bersama kepimpinan beliau.

Program Muslimat Berselawat berjaya mengumpulkan hampir 70 Muslimat PAS dari seluruh negeri Melaka. – HARAKAHDAILY 4/1/2020

- Advertisement -