Misi menyelamat akidah ummah (Siri Pertama)

- Advertisement -

CHIANG Mai merupakan satu lokasi yang didiami oleh orang Islam di negara Thailand. Berjalan-jalan di bandarnya kita akan melihat lelaki berkopiah dan wanita berhijab yang menunjukkan kewujudan mereka di sana sini. Restoran halal boleh dicari dengan lambang bulan dan bintang yang menjadi simbol rasmi agama suci di hadapan premis mereka. Menariknya semua jenis makanan tradisi Thai di sini telah diubahsuai menjadi hidangan yang dibolehkan kepada orang Islam seperti yang tercatat di dalam al-Quran.

Makanan halal memang popular dan sebagai kemuncaknya para pelancong boleh mengunjungi Pasar Malam Makanan Halal pada setiap hari Jumaat bermula jam 4 hingga 6 petang. Team Yayasan Amal Malaysia Cawangan Kelantan dipimpin oleh En Abdul Hamid Seman sedang menjalankan misi ke Chiang Rai bagi menyampaikan sumbangan umat Islam Kelantan kepada sekolah tahfiz di sana yang sedang giat mendidik anak-anak orang asli bukit.

- Advertisement -



Mereka adalah satu kaum yang tiada agama. Ringkasnya menganut Animisme, Paganisme dan memiliki kad pengenalan Thailand yang hanya sah digunakan dalam kawasan pergunungan berkenaan sahaja. Kini atas usaha beberapa ustaz dari Wilayah Selatan Thailand, anak-anak ini dibawa masuk Islam dan sedang dididik menjadi insan yang beriman serta bertakwa kepada Allah S.W.T.

Dari Selatan menuju Utara Thailand

Misi yang dinamakan “Menyelamat Akidah Ummah” ini telah beberapa kali disebut oleh En Hamid sejak tahun 2018 lagi setelah beliau dan Cikgu Mi (Mantan Pengarah Urusetia Penerangan Kerajaan Negeri Kelantan) mengunjungi pusat tahfiz asli bukit ini sebelumnya. Banyak pengalaman dan pengetahuan baru yang mereka terokai, telah dikongsi bersama dengan Ahli Jawatankuasa Kerja Yayasan Amal Malaysia Cawangan Kelantan. Ruang dakwah yang cukup luas di Utara pergunungan Thailand, menarik minat dan tumpuannya dalam menggerakkan misi bantuan kali ini.



Kami menaiki bot di jeti Pengkalan Kubor setelah mengecop pasport masing-masing. Setibanya di Tak Bai, proses menukar duit Ringgit kepada Bath dilakukan dan harga di sini agak berbaloi dibandingkan jika tukaran wang dilakukan di bandar Kota Bharu. En Hamid membeli tiga keping kad sim Thailand untuk memudahkan komunikasi antara pasukan misi.

Kami kemudiannya menaiki ‘kereta prebet’ dipandu Abe Ning Tak Bai menuju ke lapangan terbang Narathiwat. Toyota Corolla tua miliknya memecut laju dan sekitar jam 10 pagi kami tiba di Narathiwat Airport.

Waktu Thailand lewat sejam daripada di tanah air kita. Selalunya di telefon bimbit, ia akan bertukar secara automatik. Pada jam 12.35 tengahari waktu Siam, kami terbang ke udara menuju ke Bangkok dan mendarat di Don Mueang International Airport pada jam 1.50 tengahari.

Setelah menunaikan solat Zohor dan Asar, serta menjamah sedikit makanan ringan, kami kemudiannya meneruskan perjalanan ke Chiang Mai. Pesawat meninggalkan ibu kota Siam ini pada jam 5.18 petang dan tiba di Chiang Mai International Airport pada 6.09 petang. Cuaca dingin pergunungan mulai menerpa ke wajah dan menjamah kulit.

Muslim Chiang Mai

Kebanyakkan orang Islam di sini berketurunan pedagang dari Wilayah Yunnan, China dan sebahagian kecil datang dari Pakistan, India serta Bangladesh. Mereka dipanggil Jin Haw dalam bahasa tempatan. Sejak kurun ke-19, mereka berniaga di kawasan pergunungan Utara Thailand, Burma dan Laos membawa barangan kain kapas, tembakau dan ganja.

Chiang Mai sebagai salah satu destinasi perniagaan mereka, dilihat cukup bagus untuk didiami. Kebanyakan Muslim keturunan Yunan menjadikannya sebagai tempat untuk melarikan diri serta keluarga mereka sewaktu meletusnya Perang Sivil China dan juga pada era berkembangnya fahaman Komunis dalam tahun 1940-an. Antara yang awal membuka penempatan adalah Yong Fuanan iaitu pedagang yang cukup kaya dan telah mengasaskan pembinaan masjid hijau putih bernama Masjid Attaqwa.

Ia terletak di Nawatgate Road dan menjadi pusat berkumpulnya orang Islam setempat khasnya komuniti Sanpakoi. Selain itu terdapat enam buah lagi masjid bercirikan China di sini. Masjid Attaqwa berfungsi antara lainnya sebagai sekolah pertama untuk anak-anak Islam sekitar.

Komuniti Islam lain di sini adalah Chang Puak, Chang Klan Road dan Ban Haw. Ini menjadikan jumlah keseluruhan Muslim Chiang Mai seramai 40,000 orang dan mereka mendiami kawasan sekitar 17 buah masjid besar. Meskipun begitu, Muslim di Thailand hanyalah sekitar 4.9 peratus sahaja dan menjadikannya minoriti utama di negara gajah putih ini.

Orang Islam di sini bercakap dalam dialek Lanna yang menggambarkan asimilasi yang berlaku antara Muslim hijrah Yunnan dan masyarakat asal melalui pernikahan, ekonomi dan kerja-kerja sosial. Pada tahun 1916, komuniti Cina Islam di sini mulai berkembang setelah Zheng Chong Ling membuka satu perkampungan. Beliau adalah waris kepada Laksamana Zheng He yang amat masyhur dalam pelayaran ke Asia Tenggara, Asia Barat dan Selatan Afrika pada kurun ke-15. Zheng Chong telah mengahwini wanita tempatan atas sifat dakwah dan seterusnya memulakan pembinaan Masjid Hidayatul Islam Banhaw yang terletak di tengah jantung kota Chiang Mai.

Team misi kami sempat bersolat Subuh di masjid tua ini selama dua hari berturut-turut. Kedudukannya hanyalah di tepi jalan utama yang menjadi Chiang Mai Night Bazaar dan Kalaree Night Bazar. Jutaan pelancong setiap tahun memenuhi jalan ini untuk membeli belah dan masyarakat Muslim sekitar kelihatan terus bertahan dengan akidah Islamiah mereka meskipun berdepan cabaran penyakit sosial.

Ya, penyakit sosial manusia di Thailand seperti aktiviti dadah, pelacuran, LGBTQ dan sebagainya berkembang biak kerana kelihatan tiada (ataupun kurang) penguatkuasaan oleh pihak berkuasa.

Imam Umar yang memimpin solat berjemaah di Masjid Ban Haw cukup mesra apabila disapa oleh kami. Ia bercakap bahasa Inggeris tetapi amat sukar difahami dek bercampurnya loghat Siam dan Cina Yunnan. Apa pun, yang kami rasai adalah kehangatan persaudaraan Islam apabila bersalam dan memeluk imam ini.

Setelah transit dua hari di kota Chiang Mai. Kami meneruskan perjalanan untuk Misi Menyelamat Akidah Ummah ke Chiang Rai. (Bersambung siri 2)

Catatan: NAZMAN CHE IBERAHIM
Sukarelawan Amal Kelantan

Jom semarakkan aktiviti dakwah dan kebajikan bersama kami. Salurkan sumbangan anda menerusi AMAL KELANTAN DANA AMAL YATIM & ASNAF,  5530-1061-0082 (MAYBANK)HARAKAHDAILY 4/1/2020

- Advertisement -