Imam Sa’id Hawwa: Sekularism VS Islam

- Advertisement -

SEKULARISM

(1)     Imam Said Hawa R.A di dalam bukunya yang bertajuk al-Islam menghuraikan Islam dengan cukup luas yang dipetik daripada dalil al-Quran dan hadis.

Kita tahu bahawa Imam Said Hawa dan golongan yang sama generasi dengannya, termasuk generasi Imam Hasan al-Banna, masing-masing berhadapan dengan ketebalan Sekularisme.

(2)     Sekularisme mula menyegar di era kejatuhan Uthmaniah. Apabila dilihat dari segi catatan sejarah, mendapati bahawa Uthmaniah sendiri yang mengimport pemikiran sesat ini.

Uthmaniah dilihat mengimport masuk idealogi sesat ini daripada Barat setelah mana menyaksikan ketamadunan Barat yang hebat antaranya Revolusi Industri.

(3)     Ketika itu masing-masing melihat bahawa Sekular adalah satu pendekatan yang bagus, iaitu apabila agama tidak lagi mengganggu perkembangan dan kemodenan.

Akhirnya kemodenan palsu tersebut menyebabkan runtuhnya Uthmaniah yang didirikan selama 600 tahun. Runtuh disebabkan penyakit Umat Islam sendiri.

(4)     Muncul tokoh-tokoh gerakan Islam di saat ke goyangan tersebut dengan strugglenya menentang idealogi Sekular yang dilihat menjadi punca kepada kepincangan kefahaman masyarakat.

Lalu sistem dan idealogi Islam (Fikrah Islamiah) mula digali semula dan disusun secara teratur dan bersistem oleh para tokoh gerakan Islam.

Pasca kejatuhan Uthmaniah

(1)     Pasca kejatuhan Uthmaniah 1924 menyaksikan bagaimana tokoh-tokoh pemikir Islam mula memperhebatkan penulisan-penulisan yang menyanggah idealogi Sekularisme.

Bukan sahaja di peringkat global bahkan di tanah Melayu juga sudah ada usaha tersebut. Antaranya PASPAM yang ditubuhkan pada 1934, manakala di Timur Tengah masyhur dengan Al Mannar

- Advertisement -

.

(2)     Setelah berlalunya beberapa generasi, penulisan menyanggah Sekularism masih lagi diteruskan sepanjang zaman antaranya penulisan-penulisan Imam Said Hawa R.A.

Penulisan Imam Said Hawwa yang bertajuk al-Islam menggambarkan betapa rumitnya kerosakan yang dibuat oleh idealogi Sekularisme dalam menterjemahkan erti sebenar Islam.

(3)     Sepertimana yang diketahui, Sekularism cuba memisahkan antara agama dan politik. Justeru mereka melabelkan Islam itu dengan takrifan ‘religion‘ sepertimana agama-agama yang lain.

Islam digambarkan oleh Sekularism hanya sekadar anutan, pegangan dan kepercayaan kepada mitos-mitos. Sekularisme juga menggambarkan bahawa kepercayaan ini perlu diasingkan daripada pemerintahan negara.

(4)     Hujah mereka berdasarkan pemerintahan teokrasi yang diamalkan di Eropah ketika zaman kegelapan. Agama ketika itu adalah Kristian yang telah jauh tersesat daripada ajaran Nabi Isa A.S.

Seolah-olah mereka sudah fobia dengan kegelapan zaman itu sehingga mencetuskan Sekularism. Hal ini telah saya ceritakan banyak di dalam artikel-artikel sebelum ini.

Islam menurut Sa’id Hawwa

(1)     Di dalam buku al-Islam karangan Imam Said Hawa, setelah mana beliau mendatangkan banyak nas al-Quran dan Hadis akhirnya beliau menyimpulkan tentang takrifan Islam iaitu;

a-     Aqidah yang digambarkan oleh dua kalimah Syahadah dan rukun iman.

b-     Ibadah yang tercermin dalam bentuk solat, zakat, puasa dan haji yang juga disebut sebagai rukun Islam.

c-     Satu binaan yang ditegakkan di atas rukun-rukun tersebut dan terpancar dalam seluruh sistem hidup Islam yang mencakupi sistem politik, ekonomi, sosial, kebudayaan, pendidikan, ketenteraan, akhlak dan yang seumpamanya.

d-     Tiang-tiang penegak Islam, dalam erti kata lain amalan-amalan yang memperkukuhkan Islam seperti jihad amar makruf dan nahi mungkar.

Kesemua amalan ini bersifat kemanusiaan (basyari) dan bukan Rabbani, seperti takdir Ilahi serta balasan syurga dan neraka di akhirat.

(2)     Imam Said Hawwa menyatakan lagi bahawa lawan Islam ialah jahiliah setiap bahagian daripada Islam mempunyai lawan yang disebut jahiliah.

Hal ini diperkuatkan oleh sabda Rasulullah S.A.W kepada Abu Dzar ketika ia melakukan satu kesilapan Rasulullah S.A.W bersabda;



إنك امرؤ فيك جاهلية

“Sesungguhnya engkau seorang lelaki yang masih mempunyai ciri ciri jahiliah”.

وَلَا تَبَرَّجۡنَ تَبَرُّجَ ٱلۡجَـٰهِلِیَّةِ ٱلۡأُولَىٰۖ

“Dan tetaplah kamu dan janganlah kamu berhias iaitu bersolek dengan hiasan jahiliyyah terdahulu.”

(al-Ahzab: 33)



Contohnya, menutup aurat itu adalah Islam. Maka, lawannya (tidak menutup aurat) adalah jahiliyyah.

(3)     Saidina Umar pernah berkata;



إنما تنقض عرى الاسلام عروة عروة إذا نشأ في الاسلام من لا يرف الجاهلية

“Kekuatan Islam akan hancur sedikit demi sedikit apabila di kalangan Islam lahir orang yang tidak mengetahui jahiliyyah”



Islam VS Jahiliyyah

Imam Said Hawwa R.A menyatakan;

(1)     Ringkasnya lawan seluruh bahagian daripada ajaran Islam disebut jahiliyyah. Sebab seluruh bahagian ajaran Islam bersumberkan ilmu Allah Yang Maha Luas.

Sedangkan semua pemikiran atau tingkah laku yang bertentangan dengan Islam disebut jahiliyyah kerana ia bersumberkan ilmu manusia yang terbatas dan selalu dikalahkan oleh nafsu syahawatnya.

(2)     Kadang-kadang ia melihat sesuatu yang baik sebagai buruk dan yang buruk sebagai baik pula. Islam amat sempurna manakala jahiliyyah pula serba kekurangan.

Dan manusia dihadapkan untuk memilih dua jalan hidup tersebut (jahiliyyah atau Islam);



إِنَّا هَدَیۡنَـٰهُ ٱلسَّبِیلَ إِمَّا شَاكِرࣰا وَإِمَّا كَفُورًا

“Sesungguhnya Kami menunjukkannya pada jalan (kebenaran) adakalanya ia berterima kasih dan adakalanya ia kufur.”

(al-Insan: 3)



(3)     Kemungkinan akan berlaku salah faham, apabila melihat sekumpulan manusia yang menjalani cara hidup jahiliah dan dalam waktu yang sama mencampurkannya dengan beberapa juzuk daripada Islam.

Timbullah perasaan kagum terhadap sistem tersebut dengan alasan terdapat di dalamnya kesempurnaan serta wujudnya nilai-nilai yang baik, yang diambil daripada Islam.

(4)     Ini adalah kesan daripada kejahilan terhadap Islam kerana apabila seseorang memahami hakikat sebenar Islam maka akan didapatinya Islam adalah satu cara hidup yang unggul.

Bahkan tidak ada tolok bandingnya. Maka terhimpunlah segala yang baik di dalamnya. Adakalanya wujud beberapa nilai-nilai Islam dalam sistem jahiliyah.

Propaganda Sekularism

Imam Said Hawwa menyatakan lagi;

(1)     Kegagalan melaksanakan pelbagai corak yang menampakkan sistem jahiliyah, menjadikan keadaan sebaliknya berlaku, di mana sistem jahiliyyah itu sendiri dapat menyerbu dunia Islam.

Sehingga dewasa ini banyak sekali propaganda-propaganda jahiliyyah kita sendiri di bumi Islam, dan banyak pula orang-orang Islam yang terpengaruh dan menerima propaganda tersebut.

(2)     Mereka terkesan dengan propaganda Kristianisasi, Komunism, falsafah kebebasan dan parti-parti politik yang tidak berorientasikan Islam.

Begitu juga ejen-ejen kuffar yang bergerak atas nama kemajuan dan kemodenan serta mengetengahkan slogan-slogan selain daripada Allah S.W.T.

(3)     Semua ini dilancarkan dengan secara sistematik dan berencana. Akhirnya propaganda-propaganda jahiliyyah dapat mendirikan pangkalannya di seluruh negara-negara Islam.

Bukan setakat itu, propaganda-propaganda jahiliyyah semakin mempunyai pengikut dan pentaksub dari kalangan orang Islam sendiri di negara-negara tersebut.

(4)     Faktor-faktor yang menyebabkan hal demikian ialah;

a-     Kerana kejahilan kaum Muslimin terhadap Islam

b-     Kerana beralihnya kekuasaan politik kepada penjajah yang kemudiannya beralih pula ke tangan orang intelektual dan ahli-ahli politik yang setia kepada penjajah tersebut.

Ini adalah serangan sistem jahiliyyah yang semakin teratur dan ditunjangi oleh alat-alat propaganda yang serba lengkap sehingga Islam itu menjadi sangat asing di kalangan orang Islam sendiri.

Oleh: MUHAMMAD MUJAHID IR HJ MOHAMMAD FADZIL – HARAKAHDAILY 4/1/2020


- Advertisement -