Igauan Perang Dunia Ketiga

Cabaran ke atas Dunia Islam 2020

- Advertisement -

DUNIA Islam senantiasa menjadi idaman kuasa-kuasa besar dunia kerana mempunyai kelebihan mahupun keistimewaan yang tidak ternilai berbanding dunia lain samada lokasinya yang strategik, sumber tenaga manusia yang ramai ataupun kekayaan hasil buminya yang begitu banyak dan tidak ternilai harganya.

- Advertisement -

Dinamika politik dunia meletakkan Dunia Islam di persimpangan mahupun peralihan peradaban dan ketamadunan dunia. Penganalisa politik dunia meramalkan dalam masa terdekat akan timbul kuasa-kuasa baru dunia yang pelbagai, bukan lagi kuasa besar tunggal seperti Amerika Syarikat yang dilihat sudah berada di penghujung usianya atau dua kuasa besar dunia sebagaimana zaman perang dingin antara Amerika Syarikat dan Soviet Union.

Kemunculan semula Rusia dan negara-negara yang pernah melakar sejarah ketamadunan manusia dahulu seperti China, India, Iran dan Turki meletakkan dunia di ambang pertembungan konflik besar-besaran. Sudah tentu Dunia Islam akan menjadi pentas pertembungan dan medan bagi merealisasikan agenda masing-masing untuk meluaskan pengaruh mahupun kekuasaan di serata pelusuk dunia.

Perkembangan terkini yang berlaku menunjukkan Dunia Islam masih diselubungi dengan pelbagai konflik samada ianya adalah ciptaan musuh-musuh Islam atau disebabkan kelemahan yang ada di dalam Dunia Islam sendiri yang tidak berkesudahan. Justeru tahun 2020 menjadi tahun yang sangat mencabar ke atas Dunia Islam dalam pentas pertembungan geopolitik dunia.

Menurut majalah National Interest dalam keluaran terbarunya meramalkan berkemungkinan besar dengan konflik yang tercetus di dunia saat ini, ia mampu merebak dan menjadi Perang Dunia Ketiga. Jika sekiranya berlaku Perang Dunia Ketiga, maka lima tempat yang sedang dilanda konflik berpotensi untuk menjadi pencetus perang dan empat daripadanya terletak dalam Dunia Islam.

Iran-Israel

Konflik antara Iran dan Israel dijangka akan semakin bergolak. Pertembungan antara kedua-dua kuasa ini akhirnya dijangka akan berlaku secara terbuka walaupun hakikatnya ianya sudah bermula melalui proksi masing-masing sepertimana yang berlaku di Syria, Yemen dan Iraq. Israel merasa terancam kerana kegagalannya mengatur strategi dalam konflik Syria sehingga mengukuhkan lagi penentang-penentangnya. Akibatnya, Israel kini sudah dilihat cuba memperkuatkan kembali kedudukannya dengan melancarkan beberapa serangan ke atas kepentingan strategik Iran di Syria dan Timur Tengah mahupun mengadakan hubungan tidak rasmi dengan beberapa negara Arab yang memusuhi Iran.

Kekacauan yang berlaku di Iraq saat ini hingga berlaku serangan ke atas kedutaan Amerika Syarikat adalah petanda awal pertembungan Iran – Israel sudah memasuki fasa baru yang semakin meruncing. Amaran serangan balas Amerika Syarikat ke atas kumpulan Alhasyd Al- Sya’abi ( PMF ) yang dituduh memasuki, merosakkan dan membakar kedutaan Amerika Syarikat dan Iran yang menyokong kumpulan tersebut adalah dipercayai cubaan Israel melalui Amerika Syarikat untuk mendapat sokongan antarabangsa supaya Iran dihukum mahupun diberi lampu hijau untuk diserang.

Abdul Bari Atwaan, seorang penganalisa politik Timur Tengah menyifatkan konflik yang berlaku di Timur Tengah meletakkan negara-negara di dalamnya terbahagi kepada dua kem. Kem naturalisasi atau mesra dengan Israel iaitu Arab Saudi, UAE, Bahrain dan Mesir manakala kem perjuangan yang menentangnya pula ialah Turki, Iran, Qatar dan proksi masing-masing iaitu HAMAS, Hizbullah, Ansarullah di Yaman dan Alhasyd Al-Sya’abi di Iraq.

Pergolakan ini dilihat tidak mampu dibendung lagi malah dengan kehadiran Rusia sebagai kuasa baru yang sudah mula bertapak dan meluaskan pengaruh di Timur Tengah, ia tambah mengeruhkan keadaan. Rusia yang menjadi sekutu Iran dan Syria akan menyukarkan lagi pelan Israel untuk memerangi Iran malah perang proksi tajaan Israel dan serangan Israel ke atas kedudukan startegik dan kepentingan Iran seperti di Syria mendapat tentangan dan amaran daripada Rusia yang akan bertindakbalas terhadap Israel.

Dengan pengaruh Amerika Syarikat semakin lemah di Timur Tengah, Israel semakin tertekan walaupun telah mendapat sekutu dari kalangan negara Arab. Malah keadaan politik Benjamin Netanyahu yang masih terumbang – ambing berikutan tidak memperolehi majoriti dalam piliharaya Israel baru – baru ini dan kes rasuah beliau turut menyumbang kepada polisi Israel di Timur Tengah. Adalah dipercayai Benjamin Netanyahu akan mencetuskan konflik baru di Timur Tengah untuk memperolehi sokongan rakyat dan ahli Knesset Israel ( Parlimen ) untuk membentuk Kerajaan.

Besar kemungkinan 2020 akan menjadi medan pertembungan terbuka antara Iran – Israel yang mana sebenarnya ia adalah pertembungan Amerika Syarikat dan Rusia dalam usaha menguatkan kedudukan sebagai kuasa tunggal di Timur Tengah. Amerika Syarikat yang semakin lemah cuba untuk mempertahankan kuasa dan pengaruhnya manakala Rusia sedang mara menolak Amerika Syarikat daripada menjadi kuasa penentu geopolitik dunia.

India dan Pakistan

Konflik India dan Pakistan dalam isu Kashmir juga dijangka akan berlanjutan khususnya dengan tindakan terbaru yang diambil oleh India membatalkan Artikel 370 yang jelas melanggar perjanjian yang dipayungi oleh Pertubuhan Bangsa – Bangsa Bersatu. Tindakan India ini dilihat permulaan kepada strategi baru untuk menguasai sepenuhnya Jammu Kashmir dengan menterjemahkan strategi sama yang digunakan oleh Israel dengan merampas dan membina penempatan-penempatan baru Yahudi di bumi Palestin.

Teori ini dikuatkan lagi dengan hubungan yang bertambah akrab di antara India dan Israel sejak akhir – akhir ini. Justeru tidak mustahil langkah seterusnya yang akan diambil oleh India ialah membawa seramai mungkin rakyatnya yang beragama Hindu untuk menghuni wilayah Jammu Kashmir sebagaimana yang dilakukan Israel. Perjanjian kerjasama Israel – India dalam soal keselamatan, ketenteraan dan hubungan awam baru – baru ini menguatkan lagi teori strategi India ke atas Jammu Kashmir .

Walaubagaimanapun, India Citizenship Act ( Amendment ) 2019 yang mendapat tentangan hebat penduduk Islam di India baru – baru ini adalah dipercayai cubaan Kerajaan India untuk memenuhkan Jammu Kashmir dengan bukan penduduk asal Jammu Kashmir. Memudahkan kerakyatan India kepada penganut agama lain selain Islam daripada Pakistan, Bangladesh dan Afghanistan adalah sebagaimana modus operandi Israel yang membawa masuk bangsa Yahudi daripada serata dunia ke Palestin lantas mengurangkan bilangan penduduk Palestin sebagai majoriti dan penduduk asal.

Apabila India dikecam hebat berikutan parlimen India meluluskan akta yang disifatkan sebagai zalim ini, akhbar – akhbar utama Israel menyokong tindakan parlimen India sambil mengatakan Narendra Modi, Perdana Menteri India tidak rasis serta tidak memerintah sebagaimana era Nazi dan menyamakan apa yang berlaku di India adalah sama dengan yang dilakukan Israel untuk bangsa Yahudi.

Persoalannya adakah Pakistan akan berdiam diri dengan tindakan ini ? Semenjak India membatalkan Artikel 370, Pakistan telah membantah keras malah telah berlaku pertembungan antara tentera kedua – dua negara di Jammu Kashmir sehingga ke hari ini yang telah mengorbankan banyak nyawa. Malah Pakistan juga turut membawa isu Jammu Kashmir ke Majlis Keselamatan PBB November tahun lalu namun dibantah oleh India dan sehingga hari ini masih tiada tindakan penyelesaian baik dari Majlis Keselamatan mahupun PBB.

Isu ini tidak nampak jalan penyelesaian malah makin bertambah buruk. Semalam berlaku berbalas tembakan antara tentera kedua – dua negara di garisan sempadan Jammu Kashmir milik kedua – dua negara yang mengorbankan dua tentera India mendapat liputan meluas akhbar kedua – dua negara. Baik akhbar mahupun ahli politik kedua – dua negara menghangatkan lagi isu ini, kemungkinan besar akan datang perang mungkin tidak mampu dielak.

Dengan kedua-dua negara ini memiliki peluru-peluru berpandu yang boleh membawa bom nuklear dan mempunyai sejarah hingga hampir mencetuskan perang nuklear pertama di Asia satu ketika dahulu, maka tidak mustahil ia boleh tercetus pada bila-bila masa sahaja yang akan membawa kemusnahan yang tidak terkira dahsyatnya.

Turki

Turki saat ini sedang melalui proses perubahan ketara dalam hubungan luar mahupun dalam mencari serta menjadi sekutu mana – mana kuasa besar dunia. Sejak kejatuhan Kerajaan Othmaniah dan perang dunia meletus, Turki lebih dilihat cenderung dan menjadi sekutu kuat kepada Amerika Syarikat mahupun Kesatuan Eropah.

Namun sejak akhir – akhir ini, Turki dibawah Presiden Recep Tayyip Edrogan telah menjauhkan Turki dari pengaruh Amerika Syarikat dan Eropah dan mendekatkan diri serta kembali berusaha membangunkan Dunia Islam. Namun usaha Turki ini mendapat tentangan kuat daripada Amerika Syarikat dan juga Kesatuan Eropah malah hubungan rapat Rusia – Turki juga turut mendapat kecaman kuasa – kuasa besar tersebut.

Pembelian sistem pertahan peluru berpandu S400 daripada Rusia membangkitkan kemarahan Amerika Syarikat dan Eropah. Tindakan Turki tersebut membuatkan NATO bertelagah dan hampir – hampir melucutkan keanggotaan Turki . Kemarahan Amerika Syarikat terhadap Turki hampir menyebabkan Amerika Syarikat mengenakan sekatan ekonomi terhadap Turki.

Hubungan Turki – Amerika Syarikat bertambah buruk apabila Amerika Syarikat membuat keputusan mengejut memberikan kebenaran kepada Turki untuk memasuki sempadan Turki – Syria bawah kawalan Amerika Syarikat dalam usaha membenteras keganasan. Namun usaha tersebut dilihat dunia sebagai kekejaman terhadap penduduk Kurdis dan menyebabkan Amerika Syarikat bertindak mengeluarkan arahan sekatan ekonomi ke atas Turki tetapi beberapa hari kemudiannya menarik balik arahan tersebut, Tindakan tersebut mendapat kecaman kuat daripada Recep Tayyip Edrogan dengan menempelak Amerika Syarikat sebagai zalim.

Pertembungan Turki – Amerika Syarikat boleh dilihat dalam dua keadaan, pertama kekhuatiran Amerika Syarikat akan kerjasama Turki – Rusia di Timur Tengah yang setakat ini telah berjaya menghakis pengaruh Amerika Syarikat di Timur Tengah. Kedua, kerjasama Turki – Rusia dilihat mampu menggugat kekuatan Nato dan memberi ancaman kepada Kesatuan Eropah.

Terkini, kelulusan Parlimen Turki atas bantuan ketenteraaan kepada Libya yang menimbulkan kemarahan Amerika Syarikat dengan Presiden Donald Trump memberi amaran tindakan Turki akan mengeruhkan lagi suasana dan hubungan dua hala Amerika Syarikat – Turki. Berdasarkan keadaan semasa, jika keadaan di Asia Barat dan Libya di mana Turki – Rusia memainkan peranan besar berjaya menghakis kuasa dan pengaruh Amerika Syarikat, pertembungan tidak mampu dielak dan kemungkinan boleh berlaku peperangan antara kedua – dua negara.

Laut China Selatan

Mengimbas kembali sejarah Perang Dunia Kedua di Asia Tenggara adalah kerana perebutan Tanah Melayu antara kuasa-kuasa besar dunia yang bertujuan untuk menguasai Selat Melaka yang sangat strategik kerana menjadi penghubung laluan laut di sebelah barat dengan timur jauh memasuki Laut China Selatan. Tanah Melayu yang pada ketika itu berada di bawah penjajahan British berdepan dengan kebangkitan Jepun sebagai kuasa ekonomi baru yang berakhir dengan penaklukan oleh Jepun pada tahun 1942 bagi menguasai laluan strategik dan menjarah hasil buminya yang kaya.

Apa yang menarik senario penguasaan Laut China Selatan era Perang Dunia Kedua tidak jauh beza dengan senario politik antarabangsa pada hari ini. Malaysia yang berada di bawah pengaruh barat khususnya Amerika Syarikat berdepan dengan kuasa ekonomi baru dunia iaitu China. Justeru tidak mustahil Malaysia akan menjadi rebutan antara dua kuasa yang sedang bertarung ini. Saat ini juga telah berlaku pertembungan antara Amerika Syarikat dan China disekitar Asia Tenggara terutamanya kawasan sekitar Laut China Selatan dengan kedua – dua negara melakukan rondaan hingga hampir mencetuskan insiden tembak – menembak antara tentera kedua – dua negara.

Jika berlaku Perang Dunia Ketiga, adalah tidak mustahil China akan menakluk Malaysia sebagaimana apa yang dilakukan oleh Jepun pada Perang Dunia Kedua. Kronologi ke arah itu dapat dilihat dengan pencerobohan China ke atas Kepulauan Spratly yang menyebabkan kemarahan Amerika Syarikat. Namun saya tertarik dengan pandangan Tun Mahathir Mohamad ketika menjawab pertanyaan oleh majalah Al-Mogtama yang berpusat di Kuwait apabila ditanya tentang kemungkinan ini. Beliau menolak kemungkinan itu kerana dalam sejarah, China tidak pernah menjajah negara lain walaupun pernah membina tamadun yang hebat, berbeza dengan imprealis Barat yang menjajah di serata dunia.

Tahun 2020 menjadi tahun yang sangat mencabar kepada Dunia Islam yang masih lagi berada dalam kabus-kabus abad kegelapan bermula dari pertengahan abad 13 Hijrah sehingga ke saat ini, namun di hujung sana tetap ada cahaya kemenangan menanti yang telah menunjukkan tanda-tandanya. Telah muncul tanda jelas wujudnya kesedaran dan kebangkitan di kalangan umat Islam dari kelekaan dan tidur yang lena. Kelekaan habuan dunia dan tipudaya musuh sejak sekian lama telah menyedarkan umat Islam bahawa mereka telah hanyut dari landasan peradaban dan ketamadunan Islam yang sebenar dan gemilang.

Dunia Islam perlu bersatu padu dan berkerjasama samada dari sudut politik mahupun ekonomi untuk bersinar kembali. Sudah cukup lama umat Islam terbelenggu dan bercelaru terutamanya sejak zaman kejatuhan Khalifah Uthmaniyyah. Sampai masanya Islam kembali gemilang dan terbilang dan umatnya kembali kepada ajaran Islam yang sebenar serta keluar dari kegelapan mahupun kesesatan. Islam tidak akan kuat jika berpecah mahupun bercerai berai. Mari kita ambil iktibar Hijrah Nabi Muhammad s.a.w ke Madinah, bagaimana baginda menyatukan kaum Muhajirin dan Ansor seterusnya membentuk Kerajaan Islam pertama di dunia yang menjadi asas kepada seluruh sejarah ketamadunan dan peradaban Islam. Bangkitlah Umat Islam, jadilah tahun baru ini keazaman baru untuk menyinari kembali Dunia Islam.

YB Muhammad Khalil Abdul Hadi.
Pengerusi Lajnah Hal Ehwal Hubungan Luar dan Antarabangsa PAS Pusat.
ADUN Batu Burok. – HARAKAHDAILY 4/1/2020

- Advertisement -