Didikan ibu bapa sangat penting kepada anak-anak

    - Advertisement -

    TAMBUN: Ilmu keibubapaan amat penting dalam pembinaan keluarga antaranya peranan ibu bapa dalam menjadi teladan kepada anak-anak mereka.

    Ketua Pemuda PAS Kawasan Tambun, Ustaz Hafez Sabri berkata, ibu bapa adalah cerminan kepada anak-anak mereka untuk membesar sebagai generasi yang baik.

    Katanya, didikan ibu bapa kepada anak-anak di rumah merupakan asas sangat utama dan harus mencontohi Rasulullah yang berperibadi qudwatun hasanah mendidik semua anak Baginda mentaati agama.

    “Pada tahun 2020 ini cabarannya kian bertambah dalam memastikan kemenjadian anak-anak. Maka persiapkanlah dengan didikan agama yang lengkap dan semampu mungkin agar anak-anak terus menjadi hebat dan berbakti kepada agama dan ibu bapa,” seru Ustaz Hafez.

    Ustaz Hafez turut berkata bahawa PAS begitu komited menyediakan institusi pendidikan, antaranya di Kawasan Tambun sudah mempunyai 20 Cawangan PASTI, sebuah SRITI dan sedang diusahakan pembukaan SMITI akan datang.

    “Berkat ibu bapa yang membantu agama Allah juga akan menjadikan anak-anak sentiasa mencapai kejayaan kerana ibu bapa yang menolong agama Allah ini bukan biasa-biasa, bahkan Allah akan menolong keluarga ini mendapatkan sakinah dan keberkatan,” sambungnya.

    Beliau juga turut menyatakan ramai anak pimpinan PAS di peringkat Kawasan, Negeri dan Pusat memperoleh keputusan yang cemerlang di peringkat peperiksaan Ujian Penilaian Kelas KAFA (UPKK) dan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) dengan memperoleh semua A.

    Di akhir ucapannya beliau mengingatkan hadirin bahawa tugas menegakkan Islam ini adalah tugas semua lapisan masyarakat, tanpa ada yang terkecuali.

    “Ambillah contoh dari perjalanan hidup Presiden PAS, Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang yang langsung tidak memikirkan kedudukan politik, harta atau pangkat tetapi sentiasa memikirkan untuk keuntungan Islam dan beliau bekerja pagi, petang, siang dan malam demi menegakkan Islam tercinta,” nasihat beliau. – HARAKAHDAILY 4/1/2020

    - Advertisement -
    - Advertisement -