Didik rakyat berjimat, tapi k’jaan sebaliknya

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: “Kalau rakyat diminta untuk berjimat-cermat, kenapa tidak berlaku sedemikian di pihak kerajaan?” soal Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia, Ir Khairil Nizam Khirudin.

- Advertisement -

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai laporan sebuah portal yang mendedahkan tentang kontrak kenderaan yang bakal ditawarkan kerajaan kepada beberapa pembida selepas kontrak 25 tahun oleh Spanco tamat hujung tahun ini.

Laporan tersebut mendedahkan bahawa kerajaan memerlukan 32 unit Toyota Vellfire untuk menteri-menteri dan pegawai-pegawai tinggi serta lebih kurang 3,000 Honda Accord untuk pegawai-pegawai kerajaan.

Kontrak baharu akan berjalan selama hanya 15 tahun dan membabitkan 12,500 unit kenderaan dengan jumlah RM300 juta setahun, bermula selepas tahun kelima.

Menurut Khairil, kerajaan dan tompok kepimpinan negara seharusnya mengamalkan konsep kepimpinan melalui tauladan yang mana setiap tindak-tanduk yang ditunjukkan selari dengan nasihat-nasihat yang dilontarkan kepada rakyat.

“Rakyat dimomokkan dengan pelbagai masalah ekonomi negara, dengan ekonomi global yang meruncing dalam negara dan sebagainya, tetapi kerajaan tidak melakukan langkah-langkah wajar untuk membantu rakyat.

“Pada saya sepatutnya dalam keadaan sekarang, wajar untuk digunakan dengan kenderaan yang sedia ada , servislah yang mana boleh, mantain yang mana boleh, bila keadaan ekonomi semakin stabil, maka kerajaan boleh melakukan sedemikian,” ulas beliau.

Sementara itu, beliau turut mempersoalkan penggunaan kereta import dalam kontrak tersebut yang membabitkan jenama luar berbanding menggunakan jenama tempatan yang tidak kurang hebatnya.

Adalah wajar untuk menggunakan produk buatan Malaysia seperti Proton yang semakin hari semakin bertambah baik dari sudut prestasi dan persembahannya, katanya.

“Produk Proton sekarang ini setelah bekerjasama dengan Geely bukan sembarangan, dia semakin meningkat dari sudut ‘performance’ dan prestasinya, harganya juga lebih berpatutan, jadi sepatutnya kerajaan boleh menggunakan Proton Perdana sebagai kenderaan rasmi,” jelas beliau lagi.

Syarikat-syarikat yang akan membida untuk kontrak tersebut ialah Spanco, Kumpulan Naza, Berjaya, Sime Darby, DRB-Hicom, Kumpulan Samling, Comos dan Go Auto.- HARAKAHDAILY 4/1/2020

- Advertisement -