2020 dan Nilai Intrinsik Islam di Malaysia

- Advertisement -

UMAT Islam tentunya masih ingat ketika negara menjadi heboh apabila aktiviti korban yang dijalankan di perkarangan sekolah mendapat bantahan segelintir pihak, khasnya golongan bukan Islam di negara ini.

Tanpa mengambil kira sensitiviti kepada orang Islam, amalan korban yang dilihat Muslim sebagai satu jalan takwa mendekati Allah S.W.T, digambarkan sebagai sebuah amalan ganas yang bukan saja menyeksa malah melanggar hak asasi haiwan yang disembelih. Dan ianya tidak sesuai untuk dipamerkan atau diajarkan kepada anak-anak sekolah.

Penyudahnya amalan korban diputuskan tidak sesuai untuk diajarkan di perkarangan sekolah demi menghormati budaya bukan Islam dan seeloknya dilaksanakan di surau-surau berdekatan sahaja.

Beberapa hari kebelakangan ini, seakan-akan demam dejavu yang tidak pernah kebah, umat Islam Malaysia, negara yang undang-undang tertingginya mengabsahkan Islam sebagai Agama bagi Persekutuan, dikejutkan pula dengan isu penolakan kepada pengajaran seni khat Jawi kerana dikatakan preteks kepada dasar Islamisasi Kerajaan.

Walaupun ianya berkali-kali dinafikan pihak berwajib termasuk panelis yang terlibat menggubal kurikulum itu sendiri seperti Prof Dr S Vijayaletchumy [http://bernama.com/bm/news.php?id=1754156], namun ‘tekap, sambung titik pada huruf Jawi dan tiru semula’ tetap didakwa kumpulan tertentu mampu menjadikan seseorang itu Muslim seperti yang diceritakan oleh Ng Chai Heng Setiausaha Agung Dong Zong dalam sebuah forum. [https://www.malaysiakini.com/news/505022]

Jika pengajaran khat Jawi dituduh sebagai langkah Islamisasi kepada pelajar bukan Muslim keputusan Kementerian Pendidikan memberi kebenaran kepada Yadim untuk menjalankan aktiviti dakwah kepada pelajar-pelajar Muslim di sekolah-sekolah Kebangsaan juga mendapat bantahan kumpulan bukan Muslim.

Walaupun berkali-kali juga diperjelaskan bahawa aktiviti dakwah tersebut tidak langsung akan membabitkan pelajar bukan Muslim, namun bantahan demi bantahan bertali-arus. 

Terbaru wakil MCCBCHST sebuah NGO agama-agama bukan Islam dilaporkan sebagai ‘terkejut dan tidak percaya’ dengan surat pekeliling yang dikeluarkan pihak Kementerian dan menggesa ianya ditarik balik. [https://www.thestar.com.my/news/nation/2019/12/29/religious-ngo-calls-on-education-ministry-to-withdraw-permission-for-yadim-preaching-activities]

Nampaknya 2020, bukan saja sebagai Muslim kita belajar untuk katakan tidak kepada aktiviti korban di sekolah-sekolah, kita juga mungkin terpaksa mengatakan tidak kepada seni tulisan Melayu, yakni tulisan Jawi, malah mungkin juga melambai selamat tinggal kepada kerja dakwah dan kemasyarakatan Yadim?!

Dan percayalah ianya tidak akan terhenti di situ.

Tentu kita masih ingat apa yang terpaksa dihadapi oleh UniMAP hanya kerana soalan peperiksaannya menggambarkan Dr Zakir Naik sebagai ‘salah seorang ikon kepada dunia Islam’.

Naib Presiden MIC Datuk C. Sivarraajh berkata beliau tidak faham ‘kenapakah soalan yang tidak menghormati sensitiviti antara kaum dirangka menjadi peperiksaan sebuah mata pelajaran yang sepatutnya mempertingkatkan lagi pemahaman perbezaan antara kaum dan agama?’ [https://www.thestar.com.my/news/nation/2019/12/29/mic-slam-varsity-for-exam-question-hailing-zakir-naik-as-icon]


P. Ramasamy pula berpendapat bahawa soalan tersebut berat menyebelahi Dr Zakir Naik tanpa menceritakan hal sebenar seperti contohnya, pendakwah tersebut adalah individu yang dikehendaki Kerajaan India dan terdapat tuduhan jenayah ke atasnya. [https://www.malaymail.com/news/malaysia/2019/12/30/zakir-naik-should-not-feature-in-university-syllabus-says-penang-mufti/1823268]

Malah Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang kemudiannya mengkritik keras kualiti Universiti-universiti Awam yang pada hematnya hanya ‘sibuk dengan kerja-kerja dakwah dan mengangkat para penjenayah yang berlagak ikon’. [https://www.freemalaysiatoday.com/category/nation/2019/12/30/what-reform-ramasamy-asks-after-exam-question-on-zakir-naik/]

Menariknya, LTTE sebuah kumpulan bersenjata yang dilabelkan pengganas di Malaysia dan lebih tiga puluh negara di dunia seperti Sri Lanka, Kanada, Amerika Syarikat, Kesatuan Eropah dan India [https://www.thestar.com.my/news/nation/2019/10/29/teacher-52-charged-with-having-links-to-ltte-at-sepang-court] juga tidak dibenci dan dibantah sedemikian rupa.

Anusha Arumugam dalam sebuah artikel di sebuah portal atas talian menegaskan dengan panjang lebar bahawa perbuatan bersimpati terhadap LTTE di kalangan diaspora Tamil bukanlah bererti mereka mengagung-agungkan perbuatan jenayah LTTE tetapi ianya adalah satu bentuk sokongan kepada perjuangan ke atas hak satu bangsa yang sedang ditindas dan didiskriminasi oleh pemerintah untuk kebebasan bermandiri. Dan ianya secara intrinsik berkaitan dengan etnik dan budaya Tamil. [https://www.freemalaysiatoday.com/category/opinion/2019/11/03/sympathy-for-tamil-identity-isnt-terrorism/]

Agaknya itulah kayu ukur yang perlu diguna pakai untuk menilai LTTE dan bukannya seribu satu keganasan yang sering diuar-uarkan umum seperti pembunuhan beramai-ramai, pengeboman bersiri, rompakan berdarah, pembersihan etnik, pertempuran dengan tentera, serangan ke atas orang awam dan kerahan askar kanak-kanak?

Lalu kenapakah pula jika Dr Zakir Naik yang dikagumi kerana kepetahan beliau berdakwah, kebolehan beliau menghafal petikan-petikan Al-Quran dan Bible contohnya dan kecerdasan beliau dalam ilmu perbandingan agama lantas secara intrinsiknya juga dianggap ‘salah seorang ikon kepada dunia Islam’, tidak dapat diterima golongan bukan Muslim malah dibantah keras?

Dan apabila Dong Jiao Zong cuba menegaskan  bahawa mereka menolak pengajaran Jawi kerana bimbang akan Islamisasi, adakah ‘badan pendidikan’ itu cuba ‘menghasut’ bahawa Islam, yang hakikatnya dianuti lebih 20 juta jiwa di China secara intrinsiknya tidak cukup Cina?

Lalu persoalan juga timbul, bagaimana pula dengan Kristian, adakah Dong Jiao Zong juga berpendapat bahawa ianya secara intrinsiknya juga bukan Cina?

Mungkin ada yang akan mengiyakan pertanyaan tersebut dengan mengaitkan tindakan-tindakan yang sedang dilakukan oleh Kerajaan China terhadap etnik Uyghur di Xinjiang sebagai salah satu bukti bahawa Islam itu sememangnya asing dan tidak Cina sifatnya. Dan oleh sebab yang demikian Kerajaan China mahu ‘mencinakan’ etnik yang dikatakan ‘berlidah’ Turkic dan menulis dalam kaligrafi Arab itu.

Jika itulah kesimpulannya, jadi adakah akan menjadi satu kesalahan jika timbul pula pertanyaan kelak sama ada kaligrafi Cina yang digunapakai dengan meluas di Malaysia walaupun rata-rata hanya boleh difahami oleh etnik Cina, kurang atau tidak Malaysia sifatnya?

Dan bukankah kumpulan-kumpulan yang berterusan membantah Islam itu dan ini, sebenarnya sedang melakukan penghasutan maha dashyat kerana hakikatnya Fasal 1 Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan tertera “Islam adalah agama bagi Persekutuan” http://www.arkib.gov.my/documents/10157/a76af809-88b4-4b61-9984-61cb6b4d2c9d, lantas membuktikan Islam, yang juga merupakan agama anutan majoriti  warganegara pelbagai etnik, secara intrinsik juga sangat Malaysia sifatnya?

HARIZAL HASSAN
Mantan Eksekutif Kanan, Institut Kajian Strategik Islam Malaysia (IKSIM) – HARAKAHDAILY 4/1/2020

- Advertisement -
- Advertisement -