Ramai dalam PH lebih tidak layak berbanding Maszlee

Agenda gugat kedudukan Melayu, boleh jadi seperti Uyghur

- Advertisement -

SEPERTI sudah dijangka, akibat tekanan demi tekanan, Dr Maszlee Malik akhirnya tersingkir. Maszlee mengumumkan peletakan jawatan beliau sebagai Menteri Pendidikan di hadapan para media pada jam 4.30 petang semalam.

Peletakan jawatan tersebut sekali gus memungkinkan Kabinet dirombak semula dalam waktu terdekat. Apa yang membimbang dan menggusarkan rakyat ialah, di saat pentadbiran kerajaan yang kian merosakkan negara, peletakan jawatan tersebut akan merumitkan lagi keadaan.

Dalam waktu isu tulisan Jawi masih belum selesai dengan desakan Dong Jiao Zong, DAP dan seangkatan dengannya, peletakan jawatan tersebut dibimbangi akan menambahkan lagi kerumitan sekiranya jawatan tersebut diisi oleh pimpinan DAP.

Jika alasan Maszlee meletakkan jawatan disebabkan kurang berwibawa, ramai lagi yang tidak layak memegang jawatan Menteri berbanding beliau.

Bimbang ianya adalah rancangan jahat untuk terus menggugat hak keistimewaan Melayu, Ketua Pemuda PAS Kawasan Kuala Kangsar, Omar Adam berkata, tidak mustahil nasib umat Islam di Malaysia akan menjadi seperti Uyghur yang dalam usaha dihapuskan oleh pemerintah negara China.

Perancangan halus ini dipercayai tidak akan terhenti sehinggalah puak DAP ini akan menguasai penuh pentadbiran negara. Mereka berani menyentuh isu-isu sensitiviti umat Islam dengan berselindung di sebalik hak asasi manusia.

Perancangan mereka bertambah mudah apabila dibantu oleh Menteri-menteri yang kononnya menyulam dengan dakwah lembut dan bertolak ansur kepada bukan Islam. Tanpa sedar konsep Rahmatan lil ‘alamin yang disalahguna, telah menolak hak-hak umat Islam secara beransur-ansur.

Mereka berani menyentuh apa saja hal umat Islam tanpa takut, baik di dalam Parlimen, di luar Parlimen mahupun di media-media. Apa saja puak ini tidak usik, hinggakan bab solat pun mereka berani sentuh.

Dahulunya sikap baik mereka berjaya membeli hati segelintir umat Islam apabila pimpinan mereka berhenti berucap di majlis, ketika azan dilaungkan. Tetapi hari ini kita dapat lihat azan dan solat pula dihentikan di beberapa masjid dengan alasan kononnya umat Islam minoriti di tempat tersebut.

Apabila jolokan mereka disambut dengan kemarahan, mereka akan memohon maaf dan begitulah silih berganti. Rombakan Kabinet kali ini, rakyat akan melihat siapakah pencatur yang sebenar dalam pemerintahan kerajaan pada hari ini.

Hari demi hari, ianya semakin jelas dengan kerakusan DAP bermain kuasa. Semakin terzahir dengan bukti sebelum ini, Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Ahmad Faizal Azumu yang pernah meluahkan di dalam satu video sewaktu PRK Tanjung Piai; bahawa DAP memberikan tekanan dan menganggu dalam pentadbiran beliau di negeri Perak.

Atas hal yang besar ini, Dewan Pemuda PAS Kuala Kangsar merasa terpanggil untuk bersuara dan memberi amaran keras kepada pihak yang cuba memberi penentangan kepada umat Islam iaitu DAP khususnya. Akan tiba masanya umat Islam akan bangkit menentang semula melawan dan tiba masanya, bantuan Allah akan tiba. – HARAKAHDAILY 3/1/2020

- Advertisement -
- Advertisement -