Berhibur dalam batas syarak, variasikan dakwah

    - Advertisement -

    INDERA MAHKOTA: Lajnah Kebudayaan, Kesenian dan Rekreasi Muslimat PAS Kawasan Indera Mahkota telah menganjurkan Majlis Makan Malam Bersama Ustazah Asma’ Harun di Hotel De Rhu Beach Resort, Balok, di sini baru-baru ini.

    Program bertemakan Zaman Kesultanan Melayu ini telah mengimbau kembali era silam tersebut menerusi pakaian-pakaian tradisional dipakai hadirin yang melibatkan hampir 200 peserta dari kawasan sekitar ini.

    - Advertisement -



    “Idea ini sebagai memartabatkan dan memelihara Budaya Melayu, mengimbau sejarah Melayu dulu-dulu dan mengenang asal-usul yang dilupakan akibat terikut budaya asing kini.

    “Wanita Umno Bahagian Indera Mahkota juga hadir memberi sokongan atas semangat Muafakat Nasional demi ummah dan mengeratkan silaturahim antara kami,” ujar Ketua Muslimat Indera Mahkota, Salwani Salleh.

    Program ini juga menurutnya, telah mevariasikan kaedah dakwah yang lebih santai melalui seni dan budaya dizahirkan, manakala Ustazah Asma’ pula melengkapkan pengisian dengan tajuk ‘Seni dan Hiburan Dalam Islam’.

    Bakat juga dipertunjukkan sempena majlis ini antaranya persembahan nasyid, tarian joget Pahang, dikir barat, tarian tangan, deklamasi sajak selain turut menggemakan istighfar dan selawat serta lagu doa taubat. – HARAKAHDAILY 3/1/2020

    - Advertisement -