‘Street Dakwah’ ambang 2020 platform kajian syariah

    - Advertisement -

    TAIPING: Lajnah Dakwah PAS Negeri Perak dengan kerjasama PAS Kawasan Taiping telah berjaya menganjurkan program ‘Street Dakwah’ sempena Ambang Tahun Baharu 2020, di sini kelmarin.

    Program dakwah jalanan ini merupakan salah satu platform untuk menyampaikan mesej Islam kepada masyarakat khususnya peniaga dan pengunjung Muslim yang hadir di pasar malam, di sini.

    - Advertisement -



    Dalam program ini, penganjur membuat pemerhatian untuk mengenalpasti permasalahan dan mencari penyelesaian berkait peniaga dan pengunjung pasar malam khususnya dalam perkara ibadah.

    Pengerusi Lajnah Dakwah PAS Perak, Ustaz Abu Bakar Hussian berkata, program seperti ini diadakan untuk mengkaji dan mengenal pasti fakta-fakta berkait permasalahan yang dihadapi oleh para peniaga.

    ”Setelah keputusan diperolehi, suatu tindakan atau cadangan penyelesaian akan diusulkan kepada pihak-pihak tertentu sama ada di peringkat Majlis Pengurusan Komuniti Kampung atau Pegawai Tinggi Agama.

    “Atau sehingga dibawa ke peringkat Dewan Undangan Negeri untuk mendapatkan suatu penyelesaian ke arah memartabatkan Islam itu sendiri,” ujarnya.

    Ulasnya lanjut, pemantauan itu dilakukan pihaknya bagi melihat sejauh mana para peniaga dan pengunjung pasar malam itu berusaha menunaikan solat Maghrib khususnya apabila tiba waktu solat.

    Sementara itu Pesuruhjaya PAS Perak merangkap ADUN Gunung Semanggol, Razman Zakaria yang turut bersama dalam program ini menjelaskan betapa perlunya menitikberatkan perihal solat kerana ianya dapat mencegah berlakunya kemungkaran.

    Beliau mengaitkan firman Allah, ayat ke 45 di dalam Surah Ankabut tersebut dengan realiti hari ini di mana kemaksiatan berleluasa dan salah satu puncanya adalah kerana mengabaikan tuntutan solat itu sendiri.

    BeIiau menyarankan agar pihak berkuasa menguatkuasakan satu perundangan yang memperuntukkan tempoh kepada semua peniaga pasar malam agar berhenti daripada berniaga apabila tiba waktu solat.

    Selain itu pintanya satu khemah khusus untuk para peniaga bagi menunaikan solat juga perlu disediakan.

    Sempena program ini juga pihak urus setia program berpeluang mengedarkan risalah kepada para peniaga dan orang ramai berkisar tentang kepentingan ibadah khususnya solat sebagai usaha dakwah kepada mereka. – HARAKAHDAILY 2/1/2020

    - Advertisement -