SRIDI: Wartawan tandus isu burukkan Terengganu

- Advertisement -

PADA sebelah pagi semalam, ketika sibuk menguruskan hal sekolah anak, saya ada terbaca tular mengenai masalah besar melanda SRIDI Wakaf Mempelam yang terletak di bangunan lot kedai di sekitar belakang stesen minyak di Chabang Tiga. Antara masalahnya ialah ketiadaan bekalan air, elektrik, makanan di kantin, kerusi, meja dan juga pagar keselamatan.

Ianya dikatakan menimbulkan kekecewaan dalam kalangan ibu bapa yang menghantar anak-anak mereka ke SRIDI ini. Maka tersebarlah tular itu. Bagaikan buih yang keluar dari muncung botol minuman berkarbonat, melimpah-limpah tidak dapat disekat. Bagi mahu mempertontonkan bahawa Kerajaan Negeri gagal.

Tanpa diduga, ibu bapa pelajar-pelajar SRIDI, segera bertindak membalas tular itu, mempertahankan pengurusan sekolah. Ia tidak mengikut plot yang dirancang kerana seharusnya selepas tular, maka dapatlah mereka berehat, sambil menghisap rokok, minum kopi, menunggu respons kebencian terhadap Kerajaan Negeri. Sebaliknya mereka pula yang dikutuk, arrghh…sial apakah di tahun baru ini?

Apabila sudah disumpah seranah di media sosial, mereka merasakan Kerajaan Negeri adalah penyebab mereka dikeji dan dicaci. Menulis berita amat berbeza dengan membuat liputan berita secara rakaman di lokasi. Pastilah muka di pembuat liputan dikenali seantero dunia. Apatah lagi ada mempunyai akaun sosial media seperti Facebook dan Twitter. Maka, beramai-ramailah manusia mengunjunginya.

Lihat kepada persoalan yang diajukan ketika sidang media. Dengan suara yang lantang, memotong cakap Exco yang dia cuba jadikan sasaran berita ketika bertanya, jelas menunjukkan sikap sebenar, tujuan menularkan berita itu. Dia mahu kerajaan bertanggungjawab atas apa yang netizen luahkan, pastinya kerana fitnahnya. Paling memalukan, dia terpaksa meminta bantuan pula dari Exco itu bagi menyucikan dosa dan noda dirinya.

Dia rangkumkan semua berita yang dia buat atas ketiadaan bekalan air dan api ketika dia membuat liputan, iaitu berita yang benar diakui oleh Exco dengan berita ketiadaan kerusi meja dalam kelas, ketiadaan makanan yang dijual di kantin, yang mana ini adalah jelas dia memfitnah dan meminta Exco mengiyakan semuanya sekali. Alhamdulillah Exco tidak sedangkal yang dia fikirkan. Exco menjawab ada berita benar ada fitnah, separuh-separuh. Jadi tidak boleh mengiyakan semuanya.

Tidak puas dengan itu, rakannya pula bertanya mengenai 32 buah SRIDI, dan langsung dipotong Exco, kerajaan tidak mempunyai 32 SRIDI lagi, dan buat masa ini ianya tawaqquf dahulu. Segera rakannya menikam dengan cuba membuat kesimpulan yang kerajaan gagal menunaikan Manifesto PRU. Jelas tikaman dengan keris kertas itu, tidak melukakan, malah dijawab Exco, manifesto tidak sebut begitu, ianya dalam jangka masa lima tahun.

Saya pada petangnya berkesempatan menghubungi Haji Rozman Awang, Pegawai Bahagian Pendidikan dari Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT). Dia dengan jelas memaklumkan tiada wartawan datang kepadanya untuk bertanya mengenai hal itu, sedangkan beliau ada di situ meninjau persiapan SRIDI semalam. Kata Haji Rozman, bekalan elektrik tiada bukan untuk semua kelas, tetapi beberapa kelas sahaja, sambil beliau menunjukkan kipas berpusing dalam kelas. Beliau memberi jaminan, ia bukan digerakkan oleh hantu.

Ditunjukkan juga kerusi meja yang ada di dalam kelas, dan yang dikatakan kelas tiada kerusi meja itu ialah surau sekolah. Mereka dikumpulkan pada hari pertama, tiada pembelajaran. Tetapi bagi sesetengah orang mungkin pembelajaran sudah mesti dilakukan pada hari pertama dan seboleh-bolehnya peperiksaan pada minggu depan…entahlah. Kantin juga tiada masalah makanan.

Saya kemudiannya menghubungi pula Toh Puan Aida Tengah, Penolong Kanan Pesuruhjaya (Pengurusan Akademik Peperiksaan dan Penilaian) Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT), bagi penjelasan. Toh Puan menegaskan dia mengatakan, jika keadaan masih tidak dapat diselesaikan, kemungkinan sesi persekolahan akan ditangguhkan, bukan sudah diputuskan ditangguhkan seperti dalam laporan. Maka sesi diteruskan hari ini kerana ianya sudah selesai.

Pada pandangan beliau, isu ini hanya kecil, tetapi kerana cara pemberitaan yang tidak tersusun, maka ia menjadi kecoh. Sepatutnya wartawan bertanya bilakah akan diselesaikan, dan bersabar bagi pengurusan sekolah menanganinya. Dan akhirnya di sebalik kerajaan menerima malu, SRIDI pula mendapat iklan percuma.

Ternyata pada siaran Buletin Utama sebelah malamnya, tiada langsung disebutkan isu tiada kerusi meja, kantin. Yang ada hanya isu ketiadaan bekalan elektrik dan air sahaja yang disebut. Maka benarlah fitnah telah berlaku pada siaran berita di sebelah pagi. Namun sehingga kini, tiada permohonan maaf dihulurkan. Saya juga dimaklumkan, salah seorang yang ditemubual ialah pasangan kepada salah seorang pemberita.

Saya tidak mahu menjangkakan atau berfikir bahawa media-media perdana yang ada sekarang ini terikut-ikut cara musuh PAS kerana kebanyakan media milik Umno. Tetapi sedikit sebanyak ianya menganggu minda saya apabila melihat serangan bertali arus kepada Kerajaan Terengganu bermula dari kononnya kempen Pray For MB cubaan menjatuhkan MB, yuran Tadika Yayasan naik – sedangkan ia bagi yang berpendapatan RM2,500 ke atas, naik RM20, kenaikan kadar bayaran urusan tanah dan beberapa isu lagi.

Fitnah dari cybertroopers, itu biasa, atau wartawan salah petik di luar kontek, tapi fitnah dari media arus perdana, ianya suatu yang sangat serius. Fikirkan mengenai hidup selepas mati.

MOHD NASIR ABDULLAH
2 Januari 2020 – HARAKAHDAILY 2/1/2020

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS. Segala risiko akibat penyiaran ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.

- Advertisement -
- Advertisement -