Daie Buskers meriahkan sambutan 2020

    TAMBUN: Tahun baharu 2020 tidak terlepas disambut dengan pengisian bermanfaat oleh PAS Zon Meru melalui penganjuran program Sambutan Tahun Baharu 2020 bertempat Dataran Halaman Meru Damai, di sini kelmarin.

    Menurut Ketua PAS Zon Meru, Ustaz Zabidi Zainal Abidin, program santai tahun baharu ini mengikuti landas syarak dan diselitkan juga dengan bantuan kebajikan bagi golongan yang kurang kemampuan.

    Advertisement



    “Walaupun kita berasa bersyukur dengan ketibaan tahun baharu 2020 ini, namun kita meyakini bahawa masih ada yang terus memikirkan bebanan ekonomi kerana dihimpit dibebani kos hidup yang semakin tinggi. Lalu, kita akan terus santuni dengan menghulurkan bantuan,” ujarnya.

    Program diisi pelbagai aturcara menarik, antaranya cabutan bertuah, kuiz agama serta persembahan istimewa dari kumpulan nasyid Da’ie Buskers di mana vokalisnya terdiri daripada Pengarah Jabatan Amal Negeri Perak, Abdul Karim Abdul Rasid.

    Seluruh hadirin turut berpeluang mendengar ucapan dari Yang DiPertua PAS Kawasan Tambun, Ustaz Md Salleh Said dan Ketua Pemuda PAS Tambun, Ustaz Mohd Hafez Sabri di mana kedua-duanya merupakan mantan calon di DUN Ulu Kinta dan DUN Manjoi PRU14.

    Kedua-dua pimpinan utama Tambun tersebut turut berkesempatan menyampaikan sumbangan kebajikan terdiri daripada barangan makanan asas dapur kepada golongan kurang berkemampuan sempena pembukaan tahun baharu ini sebagai tanda keprihatinan PAS.

    Tidak terlepas, program itu turut diserikan juga dengan pelbagai jualan dari ‘Buy Muslim First’ yang diusahakan oleh usahawan Bumiputera, antaranya aiskrim goyang, aiskrim potong, jeruk madu, Smart – i, corndog, kerepek, jersi dan air balang.

    Turut hadir Setiausaha PAS Tambun, Syed Mohd Noor Hisham Syed Hassan dan Ketua Muslimat Zon Meru, Nur Izzati Muhammad dan wakil kepimpinan PAS Kawasan Tambun, Dewan-dewan dan Cawangan di Zon Meru. – HARAKAHDAILY 2/1/2020