Program Subsidi Petrol tersasar, tidak bersasar

- Advertisement -

Pengumuman pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mengenai penangguhan Program Subsidi Petrol (PSP) mengundang pelbagai persoalan terhadap sejauhmana perancangan mekanisme dibentuk bagi merealisasikan hasrat subsidi bersasar ini.

- Advertisement -

Program yang menyasarkan peruntukan RM2.4 bilion itu pada asasnya masih tidak menepati sasaran yang sepatutnya meskipun meletakkan secara umum penerima dalam kalangan B40 dan M40.

Saya telah membangkitkan dalam perbahasan peringkat Jawatankuasa Belanjawan 2020 pada 14 November yang lalu bahawa seharusnya PSP lebih disasarkan kepada kelompok pekerja yang lebih banyak menggunakan perkhidmatan kenderaan yang tinggi dalam kerja-kerja seharian.

Kelompok ini termasuklah golongan pekerja perkhidmatan ekonomi gig seperti MyCar, BungkusIt, GrabFood, GetRunner dan sebagainya. Ia tidak adil jika mereka turut menerima nilaian RM30 bagi kereta atau RM12 bagi motorsikal sebulan sedangkan penggunaan kenderaan mereka lebih tinggi.

Tambahan lagi, apa yang cuba dilaksanakan oleh Kerajaan dalam PSP ini tidak lebih hanyalah tambahan RM30 bagi pengguna kereta atau RM12 bagi pengguna motosikal daripada nilaian Bantuan Sara Hidup (BSH) mereka walaupun pada hakikatnya nilai BSH telahpun mengalami pengurangan daripada sebelumnya.

Malah, mereka juga terpaksa membayar harga petrol yang telah diapungkan tanpa subsidi lagi. Justeru, bagaimana kita melihat perkara ini tidak akan membebankan pengguna pada jangka masa panjang?

Oleh itu saya mengharapkan agar pihak Kementerian turut mengambil kira pandangan ini bagi memastikan mekanisme PSP kelak yang lebih berkesan dan bersasar serta dapat dimanfaatkan kepada mereka yang benar-benar memerlukan.

Sekian, terima kasih.

“Islam Memimpin Perpaduan”

DATO’ HJ CHE ABDULLAH MAT NAWI
Ahli Parlimen Tumpat
1 Januari 2020 bersamaan 5 Jamadil Awwal 1441H – HARAKAHDAILY 1/1/2020

- Advertisement -