PAS Kemasik prihatin nasib nelayan di musim tengkujuh

- Advertisement -

KEMAMAN: PAS DUN Kemasik menyantuni 240 nelayan dalam usaha menyampaikan keperluan dapur dan wang tunai untuk membantu mereka yang hilang pendapatan sepanjang musim tengkujuh melanda.

Pengarahnya, Ir Saiful Azmi Suhaili berkata, golongan nelayan tidak seharusnya dipinggirkan kerana kebanyakan mereka tergolong daripada kelompok miskin dengan pendapatan yang tidak menentu.

- Advertisement -



“Kita faham masalah dihadapi nelayan yang tidak dapat turun ke laut pada musim tengkujuh sedangkan banyak perbelanjaan keluarga yang perlu dilunaskan.

“Bantuan sara hidup nelayan oleh Kerajaan Pusat yang sebelum ini RM300 sudah dikurangkan kepada RM200 untuk setiap nelayan, sekali gus memberi kesan kepada kehidupan mereka terutama apabila tidak dapat turun ke laut menangkap ikan.

“PAS DUN Kemasik tidak akan meminggirkan komuniti nelayan terutamanya dalam perkara-perkara yang membabitkan soal kebajikan,” ujar Ir Saiful di Program Penyampaian Sumbangan Musim Tengkujuh Nelayan DUN Kemasik, di Kertih, di sini hari ini.

Beliau yang juga ADUN Kemasik menambah, bantuan-bantuan sedia ada kepada golongan nelayan terutama berkaitan baik pulih rumah yang rosak akan terus diusahakan.

Sementara itu seorang nelayan, Salim Abdullah, 80, berkata beliau sudah arif akan kesukaran di musim tengkujuh ekoran pengalamannya ‘bermain ombak dan bergelumang hanyir ikan’ seawal usia kanak-kanak lagi.

“Kena belanja dengan cermat duit ini memandangkan kita dok (tidak) tahu bila musim tengkujuh akan berakhir,” katanya.

Di Pantai Timur Semenanjung, Monsun Timur Laut atau musim tengkujuh dengan keadaan angin kencang, laut bergelora dan hujan lebat selalunya bermula pada akhir tahun sehingga bulan Mac. – HARAKAHDAILY 1/1/2020

- Advertisement -