DAP diingat henti bertegang terhadap Polis

- Advertisement -

PARA pemimpin DAP berterusan dengan sikap bebal apabila bertindak menyanggah pihak Polis ekoran pembatalan Kongres Pertubuhan Cina anjuran Dong Jiao Zong. Kecaman dilepaskan DAP ternyata bernada serangan, sekali gus mempertikai, merendah dan mencalarkan wibawa pasukan keselamatan. Ia menyerlah sikap angkuh sombong terhadap kedudukan dan kuasa mereka ketika ini.

Kami memberi amaran supaya DAP menghentikan watak celupar, kurang ajar dan biadab seperti ini seolah-olah memaksa pihak Polis untuk tunduk pada desakan dan kemahuan mereka. Jangan cuba memalit imej buruk yang direka fitnah ke atas pasukan penting negara. Apakah kerana memegang kuasa politik, maka DAP menzahirkan keberanian untuk bertentang dengan pihak Polis?

Kami berharap kuasa politik atau permainan tangan-tangan ghaib tidak memangsakan pasukan Polis. Kami saksikan, tindakan diambil pihak Polis adalah selaras peranannya dalam mengawal ketenteraman awam. Pelaksanaannya telah mengikut operasi sewajarnya menurut peraturan undang-undang. Sikap DAP hanya akan membibitkan buruk sangka dan curiga yang keterlaluan.

Mempersoalkan kononnya pihak Polis telah bertindak tidak adil dengan membandingkan Kongres Maruah Melayu, hanyalah alasan dangkal. Malah, ianya emosi semberono dan diada-adakan tanpa penilaian seimbang lagi berakal pendek. Kongres Melayu berjuang mempertahankan hak sedia termaktub, sedangkan Kongres Cina mencabar untuk membuang atau mengenepikan ketetapan.

Bukankah itu satu bentuk gugatan melampau, bahkan berkepentingan sepihak? Lebih malang dimomokkan lagi dengan ‘hantu’ yang tidak wujud; mendakwa tulisan Jawi untuk mengislamkan pelajar bukan-Muslim. Semua ini mengeruhkan lagi keharmonian kaum apabila sensitiviti berkaitan diusik. Apatah lagi berkait hal kenegaraan; seolah-olah penentang tiada taat setia kepada negara.

Oleh itu kami mengingatkan DAP, jangan menyimbah petrol kepada api, hentikan adu domba yang membakar sumbu-sumbu persengketaan. DAP sudah sekian kali umpama api dalam sekam memarakkan sentimen perkauman dan penentangan radikal serta provokasi yang boleh menggalakkan pertembungan. Mungkin kamu seronok bermain api, tapi risikonya nanti ia menyambar diri sendiri.

“Islam Memimpin Perpaduan”
“Demi Islam”

IR HAJI KHAIRIL NIZAM KHIRUDIN
Ketua Pemuda
Dewan Pemuda PAS Malaysia – HARAKAHDAILY 1/1/2020

- Advertisement -
- Advertisement -