2019: Memori yang wajar direnung ibrah

    - Advertisement -

    NEGARA kita mengharungi tahun 2019 dengan pelbagai rencam cabaran juga pencapaian. Tidak kurang juga yang mengundang rasa prihatin kita, menyemarak rasa cinta dan kebersamaan, malah berkongsi suka duka dalam naik turun suasana masyarakat majmuk.

    Saya lebih suka untuk mengingati memori gemilang dan memberi sinar kepada masyarakat majmuk berbilang kaum dalam mengharung pelbagai isu. Tahun 2019 menyaksikan Muafakat Nasional termeterai di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) dalam suasana penuh kasih sayang sesama saudara. Calon kerabat Muafakat Nasional dilihat semakin sedap di mata rakyat apabila satu demi satu Pilihan Raya Kecil mula menunjukkan kesan positif. Malahan ianya mula memenangi hati masyarakat majmuk apabila undi rakan Tionghoa juga akhirnya jatuh ke tangan pembangkang dengan majoriti belasan ribu di Tanjung Piai.      

    Tidak kurang juga isu yang mengundang rasa marah kita apabila Baginda Nabi S.A.W dihina, bendera negara dipasang terbalik, berganti dengan lambang bintang yang tidak menggambarkan bentuk asal, lagu Kebangsaan tidak dihormati selayaknya, malah Institusi Diraja dihina kedudukannya. Saya melihat semua isu ini mengalir hikmah di mana ia menggembleng kembali rasa cinta negara yang mungkin jarang dibincang dalam kalangan kita sebelum ini. Malah ada yang menyingkap kembali sejarah gemilang tanah watan ini dan menghargai kedaulatannya.

    Usaha Tuan Guru Presiden PAS di dalam majlis dialog bersama rakan bukan Melayu dan Kristian dalam menjalin perpaduan membuktikan beliau bukan individu rasis seperti dicemuh orang. Malahan Tuan Guru Presiden sejak dari awal mengunjung hormat rakan-rakan MIC. Sokongan pembangkang kepada calon MCA di dalam Pilihan Raya Kecil Sandakan dan Tanjung Piai membuktikan Muafakat Nasional bukan entiti rasis malah menghargai keharmonian bermasyarakat majmuk.

    Harapan Ameerah Wilayah Persekutuan agar kerajaan hari ini meletakkan kebajikan dan hak rakyat sebagai keutamaan dalam semua aspek.
    Semoga persefahaman dan perpaduan sesama kaum di negara kita semakin erat terjalin dan kemajuan eknomi jua taraf hidup rakyat mencapai taraf negara maju. Selamat Tahun Baru 2020.

    Salam hormat,

    ‘ATIKAH ABDUL RAHMAN
    Pengarah Ameerah
    Dewan Muslimat PAS Wilayah Persekutuan – HARAKAHDAILY 1/1/2020

    - Advertisement -
    - Advertisement -