KERAJAAN wajar memandang serius isu pencemaran bau yang mengakibatkan ketidakselesaan masyarakat dengan mewujudkan peraturan dan garis panduan yang khusus bagi menangani isu tersebut yang semakin kerap berlaku di negara ini.
Saya difahamkan bahawa dalam aspek pengurusan sendiri terutama berkaitan perundangan atau akta khusus pencemaran bau masih tidak wujud di Malaysia. Oleh itu, sewajarnya pihak Kerajaan dan agensi yang berkaitan terutama Jabatan Alam Sekitar (JAS) mengadakan perbincangan dan libat urus bagi memperkenalkan peraturan khusus pencemaran bau dalam pindaan Akta Kualiti Alam Sekeliling, 1974 yang bakal dibentangkan di Parlimen tahun hadapan.
Saya melihat perkara ini turut membantu pihak JAS dalam melaksanakan pemantuan, pengukuran dan penguatkuasaan yang melibatkan pencemaran bau. Walaupun peraturan khusus pencemaran kualiti udara sudah wujud dalam akta sedia ada, namun akta tersebut tidak dinyatakan secara khusus tentang pencemaran bau.
Jelasnya di sini bahawa pencemaran bau yang berpunca daripada industri, kilang sawit dan getah, tapak pelupusan sisa buangan dan rawatan sisa kumbahan menyumbang kadar pencemaran bau yang tinggi sekiranya tidak diuruskan dan dicegah dengan baik dan lestari.
Malahan, tidak dinafikan juga dengan pencemaran bau yang berlaku akan menyebabkan gangguan sistem respirasi dan penyakit kulit terutama golongan warga emas dan kanak-kanak.
Selain itu, impak pencemaran bau juga terkesan dengan masalah kesihatan seperti sakit kepala dan masalah pernafasan. Tambahan pula, seandainya masyarakat terdedah dengan pencemaran bau secara berterusan akan mengakibatkan tekanan emosi dan masalah psikologi seperti tidak selesa dan gangguan tidur.
Oleh itu, saya menyarankan strategi kawalan ke atas pencemaran bau wajar diwartakan bagi menjamin pengurusan berjalan dengan lebih sistematik dan mampan selain memperkenalkan peraturan khusus bagi membendung isu ini agar tidak lebih serius.
“Islam Memimpin Perpaduan”
YB CHE ALIAS HAMID
Ahli Parlimen Kemaman – HARAKAHDAILY 31/12/2019