PAS selami derita petani Seberang Perak

- Advertisement -

PASIR SALAK: Pesuruhjaya PAS Negeri Perak, Razman Zakaria telah meluangkan masa mengadakan pertemuan dengan para petani dan penternak yang telah dilangsungkan di Seberang Perak, di sini kelmarin dahulu.

Lawatan beliau yang juga ADUN Gunung Semanggol itu adalah atas permintaan golongan tersebut kerana mahu menyuarakan keluh kesah dan masalah serta perkara berbangkit dihadapi mereka berkaitan usaha dilakukan.

- Advertisement -

Hadir sama adalah Pengerusi Lajnah Asas Tani dan Alam Sekitar (LATAS) PAS Kawasan Pasir Salak, Asri Ismail dan Pengerusi LATAS Muslimat PAS Pasir Salak, Jamaiah Shuib serta Ketua NGO Petani, Mat Ashar Ibrahim.

Menurut Mat Ashar, permasalahan mereka bermula dengan sistem pengairan yang tidak mengikut jadual di mana telah mengakibatkan musim menanam padi lewat selama 2 bulan.

“Aktiviti meracun musim ini terpaksa dilakukan pada musim hujan. Keadaan ini yang mengakibatkan serangan ulat batang kerana racun tersebut tidak berkesan,” katanya lagi.

Menurut seorang lagi petani, Mohd Soleh Mat Isa, masalah benih padi tidak berkualiti masih berlarutan sejak musim pertama lagi, malah sebahagian petani tidak memperolehi benih yang dibekalkan oleh Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK).

Ujar beliau lagi, hampir keseluruhan petani menghadapi kemerosotan hasil padi antara 60 hingga 70 peratus pada musim ini di mana lebih malang, pihak PPK seolah-olah berlepas tangan dan menyalahkan petani.

Razman berkata, masalah ini turut dialami oleh petani dari negeri-negari lain, namun begitu kawasan Seberang Perak adalah antara yang terjejas teruk.

Beliau berharap Kerajaan PH dapat segera bertindak bagi mengatasi permasalahan petani ini kerana hasil padi adalah punca pendapatan utama mereka, ditambah lagi terpaksa menampung kos persediaan awal persekolahan anak-anak. – HARAKAHDAILY 31/12/2019

- Advertisement -