Terealisasikah blok Islam?

- Advertisement -

LATAR belakang

(1)     Sebelum ini saya ada menulis tentang persaingan kuasa besar di era kenabian Nabi Muhammad S.A.W, menyaksikan kepada kita pertembungan Rom dan Parsi yang dahsyat.

(2)     Di hadapan mata kita hari ini, terbentangnya persaingan antara China dan Amerika. Amerika semestinya ingin mengekalkan kuasanya.

Manakala China pula memang dikenali dengan kerakusan mengintai peluang. Kedua-duanya dilatari oleh sejarah silam pertembungan antara Amerika dan Soviet 1947-1991.

(3)     Amerika mengamalkan sistem demokrasi dan menganut fahaman Liberal Kapitalis. Manakala China pula dilihat dibayangi oleh akar-akar Soviet.

Soviet menganut fahaman Sosialis Komunis dan mengamalkan sistem autokratik yang dilihat kuku besi berbanding demokrasi yang dilihat terbuka.

(4)     Amerika sentiasa melaungkan slogan kebebasan, Liberal, dan sealiran dengannya. Namun itu hanya topeng. Amerika hakikatnya bersikap kuku besi.

Kuku besi adalah sikap Amerika yang sebenar. Mereka menceroboh negara-negara, merembat kekayaan, campurtangan politik, dan rosakkan sistem masyarakat.

Bahkan sistem Kapitalism yang diperkenalkan oleh mereka itu menyebabkan kesan yang besar dalam ekosistem di peringkat antarabangsa.

Dua blok

(1)     Amerika dikatakan mengamalkan kebebasan kokonnya, tetapi sikap mereka terhadap China mendedahkan segala-galanya. Antaranya dalam Trade War.

Seolah-olah Amerika mengamalkan dasar ‘cantas’ atau ‘cas keting’. Begitu juga dalam ‘menguruskan’ Eurasianism jelas menunjukkan sikap Amerika yang kolot.

(2)     Amerika bukanlah bersikap ‘persaingan terbuka’ sepertimana yang dilaung-laungkan. Akan tetapi mereka akan cantas dan huru-harakan negara-negara yang dilihat ada potensi bersaing dengannya.

(3)     China tak kurang jahatnya. Turut merancang belakang tabir untuk kuasai dunia. Seolah-olah menuju ke arah Pax Sinica, iaitu China kuasai dunia.

(4)     Apa yang terjadi di Malaysia hari ini apabila China telah melebarkan sayapnya untuk meletakkan Malaysia dan Asia Tenggara di bawah pengaruhnya.

Adakah Amerika akan berdiam diri? Semestinya tidak. Bertambah pelik apabila tindakan Cina-cina DAP hari ini dilihat banyak menguntungkan pengaruh Amerika.

(5)      Apakah DAP itu semenangnya rangkaian Amerika? Atau DAP terjerat dengan Amerika sehingga hilang pengaruh China di negara kita? Segalanya masih teka-teki.

Umat Islam bagaimana? Adakah apabila menentang PH yang ada kemungkinan proksi China, secara tak langsung memberi saham kepada pengaruh Amerika?

Rom vs Parsi

(1)    Politik akan terus berteka-teki. Masing-masing tidak tahu apa yang dirancang oleh pihak sebelah sana. Kita boleh mengkaji perancangan mereka.

Tetapi hakikatnya Allah S.W.T sahaja yang mengetahui sebenar-benar perancangan mereka. Itu serah kepada Allah. Tugasan kita ialah membina blok Islam.

(2)     Sepertimana yang saya ceritakan dalam artikel sebelum ini, menggambarkan bagaimana Nabi S.A.W membina blok sendiri sekalipun wujudnya persaingan sengit antara Rom dan Parsi.

Walaupun Nabi S.A.W menyebelahi Blok Rom berhadapan dengan Parsi, namun ia bukan menjadi kayu ukur Baginda S.A.W itu jadi biji catur Rom. Bahkan, Nabi S.A.W punya strategi sendiri.

Sehinggakan Baginda S.A.W sendiri menentang Rom dalam siri-siri peperangan selepas itu. Menunjukkan Nabi S.A.W tidak terikut dengan arus persaingan kuasa besar.

(3)     Andai sekiranya kita mengatakan “Eleh, Malaysia kecil saja..”. Marilah kita lihat bagaimana Madinah juga bukanlah empayar yang besar.

Tetapi Nabi S.A.W berjaya membina jaringan blok sendiri sekalipun saiz negara agak kecil berbanding Rom dan Parsi. Maka, besarkan jiwamu!

(4)     Sebab itu jaringan KL Summit mendapat tentangan daripada proksi Amerika seperti Arab Saudi. India juga telah berbunyi. Ini menandakan mereka ada kesedaran.

Proksi dan agenda Amerika

(1)     India baru sahaja berhadapan dengan Pakistan dalam isu Kashmir. Dalam isu Kashmir, kita tahu bahawa India dan Pakistan hanya sekadar ‘sembang lebat’.

Kedua-duanya bukan ada kekuatan pun andai berlakunya perang. Namun, sebagai gimiknya, kedua-duanya dilihat tunjuk taring sekalipun gigi yang lain merongak.

(2)     Arab Saudi kita sudah tahu sejak sekian lama menjadi suara bagi Amerika. Maka tidak pelik kalau ‘sendawanya bau busuk mulut Amerika’.

(3)     Kalau dilihat secara kasar, PKR dilihat proksi Amerika manakala DAP dilihat proksi China. Tetapi kedua-duanya berada dalam satu ‘mangkuk’ bersama dengan Bersatu.

Adakah Bersatu dibentuk semata-mata untuk mengekang pengaruh antarabangsa? Atau mereka sendiri yang terjerat dalam game ini?

(4)     Dalam persaingan ini, kita sebagai Umat Islam sepatutnya membina blok sendiri. Namun, stamina kita dihabiskan untuk bergaduh tentang Wahhabi.

Stamina kita dihabiskan untuk membincangkan tentang perselisihan Tauhid 3 dan Sifat 20. Perselisihan ini dilihat segar di kalangan Tradisionalis.

(5)     Boleh juga kita buat hipotesis, semakin segar agenda Tradisionalis, semakin subur perselisihan sesama Umat Islam. Inilah yang diagendakan oleh Barat selama ini

Umat Islam di mana?

(1)      Kenapa Umat Islam dilihat sukar nak membina blok sendiri? Bukan berniat lemahkan semangat, tetapi untuk memahami realiti.

a-     Umat Islam banyak terbuang masa berbahas perkara yang telah dibincangkan para Fuqaha silam. Masing-masing mempamerkan kitab-kitab Fuqaha silam demi membuktikan kebenaran hujahnya.

Manakala pihak satu lagi juga mempamerkan kitab Fuqaha silam sebagai bukti pihaknya juga ada sandaran. Saling naqal menaqal sebagai bukti ada sandaran.

b-     Sampai bila? Para Fuqaha terdahulu yang hebat pun berselisih dalam masalah khilafiah, tiba-tiba kita hari ini menemui formula menyatukan isu khilafiah? Kelakar.

Mereka telahpun menyediakan garis panduan berkhilaf. Antaranya berlapang dada. Berhujah bukan untuk cari siapa hebat. Kalau masing-masing sudah ada sandaran, lapangkanlah dada.

(2)     Kelompok yang mengaku Ahlus Sunnah Wal Jamaah kritik golongan yang dilabel Wahhabi. ASWJ kata Wahhabi pecah belahkan masyarakat.

Tetapi dalam masa yang sama Wahhabi kata ASWJ guna hadis dhaif jiddan yang dikatakan tidak wajar diamalkan, menjadi sebab masyarakat pecah belah.

Saling menunding jari antara satu sama lain. Menyebabkan kesukaran bagi Umat Islam untuk membina bloknya sendiri. Lantas ada orang Islam yang terhanyut dengan blok Amerika, atau blok China.

MUHAMMAD MUJAHID IR HJ MOHAMMAD FADZIL – HARAKAHDAILY 30/12/2019

- Advertisement -
- Advertisement -