4,019 guru KAFA dicarum PERKESO

    Mohd Rosdi menyampaikan Faedah Pengurusan Mayat kepada suami guru Kafa.
    - Advertisement -

    TANAH MERAH: Seramai 4,019 guru Kelas Agama dan Fardhu Ain (KAFA) di Kelantan dicarum di bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) membabitkan peruntukan sebanyak RM842,138.10.

    - Advertisement -

    Guru-guru KAFA bakal menikmati pelbagai faedah di bawah PERKESO setelah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) mencarum guru berkenaan tahun ini.

    Timbalan Ketua Eksekutif PERKESO (Pengurusan) Mohd Rosdi Mat Yasin berkata, bayaran caruman itu membolehkan guru KAFA dilindungi PERKESO.

    “Jumlah bayaran caruman PERKESO tersebut sebahagian peruntukan yang disalurkan melalui Jakim berjumlah RM6.9 juta,” ujarnya pada majlis penyerahan ‘mock cheque’ pembayaran caruman PERKESO oleh JAKIM di Dewan Sri Gemilang Kolej Vokasional di sini hari ini.

    Beliau juga berkata, PERKESO berkolaborasi dengan KAFA dengan memberi penerangan kepada guru-guru tentang faedah dan skim yang disediakan.

    Pada majlis itu suami guru KAFA yang meninggal dunia Mohd Ghusok Che Hussin, 43, menerima bayaran Faedah Pengurusan Mayat (FPM) daripada PERKESO sebanyak RM2,000.

    Bayaran berkenaan diberi berikutan isterinya guru KAFA, Mariana Yusoh, 31 meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya 1 Oktober lalu.

    Pada masa yang sama Ghusok bakal menerima Pencen Faedah Orang Tanggungan (FOT) sebanyak RM540 sebulan sepanjang hidupnya. – HARAKAHDAILY 30/12/2019

    - Advertisement -