PAS Bukit Mertajam anjur Majlis Makan Malam

- Advertisement -

BUKIT MERTAJAM: PAS Kawasan Bukit Mertajam telah menganjurkan Majlis Makan Malam bertempat di SN Homestay Tokkun, di sini semalam.

- Advertisement -

Majlis Makan Malam ini bertujuan mengumpul dana di samping mendengar kupasan isu-isu semasa daripada para penceramah jemputan.

Yang DiPertua PAS Bukit Mertajam, Norazman Ishak berkata, ahli PAS perlu mendukung segala bentuk aktiviti parti dan menyebarkan sebanyak mungkin berkenaan PAS, sama ada melalui media sosial ataupun media cetak.

Harakah adalah akhbar rasmi PAS, tidak boleh tidak kita perlu memperkasakan sebarannya,” seru beliau.

Sementara itu, Pesuruhjaya PAS Negeri Pulau Pinang, Ustaz Muhammad Fauzi Yusoff menjelaskan, penambakan laut untuk tiga pulau buatan di Selatan negeri ini telah memberi kesan dan mudarat terutama kepada institusi nelayan dan ekosistem laut.

“Kerajaan DAP begitu rakus dan tamak, sehinggakan tidak dihirau rakyat marhaen yang mencari sumber rezeki di laut. Ada dalam kalangan nelayan yang memukat sehingga ke Langkawi, disebabkan ikan yang semakin berkurangan di kawasan sendiri,” ujar beliau.

Dalam pada itu, Pengarah Pilihan Raya Muslimat PAS Malaysia, Noraini Hussin telah menekankan berkenaan tugas seorang ahli gerakan yang berjuang di jalan Allah.

“Petugas PAS tidak pernah mengharapkan balasan duniawi, kerana kita perlu sedar, ganjaran yang lebih utama menanti kita ‘di sana’ (akhirat),” katanya.

Kemuncak ceramah pada malam tersebut telah disampaikan oleh Naib Presiden PAS, Ustaz Idris Ahmad di mana beliau menerangkan mengenai prinsip Muafakat Nasional yang sedang berlaku antara PAS dan Umno.

“Umno sekarang adalah pembangkang, logikkah jika pembangkang lawan pembangkang? Kita ada tujuan utama, iaitu untuk menumbangkan Kerajaan PH,” ucap beliau.

Turut hadir pada majlis ini ialah rakan-rakan dari parti politik seperti Umno, MIC, MCA dan PCM. – HARAKAHDAILY 29/12/2019

- Advertisement -