Kukuhkan dalaman, luaskan kemasyarakatan

    - Advertisement -

    TAMBUN: PAS sememangnya sudah terkenal dengan berbagai aktiviti kemasyarakatan khususnya kebajikan membantu asnaf, fakir miskin, Orang Kelainan Upaya (OKU) termasuk menyediakan keperluan asas persekolahan.

    - Advertisement -

    Bahkan dalam sebarang keadaan, PAS sering menjadi rujukan dan parti yang paling boleh diharap untuk membantu rakyat tatkala Kerajaan PH sekadar pandai berjanji tetapi tidak menunaikannya malah menuding jari kepada rakyat.

    “(Oleh itu) Teruskan perkukuh program dalaman dan perbanyakkan aktiviti kemasyarakatan membantu rakyat dan dalam masa yang sama libatkan para Pemuda secara langsung sebagai pelapis kepimpinan,” ujar Yang DiPertua PAS Kawasan Tambun, Ustaz Md Salleh Said.

    Beliau berkata demikian ketika menyampaikan amanat dalam pertemuan khas pimpinan Harian PAS Kawasan Tambun bersama saf kepimpinan utama setiap cawangan di Markas PAS Kawasan Tambun, di sini kelmarin dahulu.

    Sementara itu Naib Yang DiPertua PAS Tambun, Aidil Abdul Aziz ditemui selepas itu mengingatkan agar setiap Cawangan mestilah sentiasa aktif menggerakkan aktiviti melalui Cawangan atau bergabung melalui Zon yang diwujudkan.

    “Alhamdulillah, sehingga kini sudah sembilan jawatankuasa penaja Cawangan baharu PAS telah berjaya dibentuk dan bakal melengkapkan sasaran 10 cawangan baharu pada 29 Disember ini.

    “Usaha ini sangat penting dalam menjayakan agenda pemerkasaan parti di semua peringkat setelah pertambahan ahli setiap bulan semakin menggalakkan,” ujar Aidil lagi.

    Bersempena pertemuan tersebut juga disampaikan sijil keahlian baharu yang telah diluluskan termasuk kepada Ketua PAS Cawangan Klebang Jaya, Rafie Warie yang menerima anugerah khas cawangan tertinggi pertambahan ahli PAS.

    Turut menyampaikan taklimat dan mengendalikan dialog bersama, Setiausaha, Syed Mohd Noor Hisham Syed Hassan dan Bendahari, Ramli Bilan dan Penolong-penolong Setiausaha PAS Tambun. – HARAKAHDAILY 29/12/2019

    - Advertisement -