Gunting rambut percuma ADUN Gunung Semanggol

- Advertisement -

BAGAN SERAI: Lebih 30 pelajar menyertai program Gunting Rambut Percuma bersama ADUN Gunung Semanggol, Razman Zakaria anjuran Pusat Khidmat Gunung Semanggol, di sini kelmarin dahulu.

- Advertisement -

“Sebagai persediaan menjelang sesi persekolahan 2020, pihak kami berbesar hati membantu keluarga yang kurang berpendapatan dari beberapa buah kampung dan penempatan di daerah ini,” ujar Pengarah Program, Ahmad Rosman Razali.

Program tahunan yang telah berlangsung tiga tahun berturut-turut ini merupakan kerjasama PAS Cawangan Semanggol yang telah menyediakan tapak program dan bertungkus lumus melancarkan program ini.

Hadir sama merasmikan program itu, Razman Zakaria menyatakan fokus utama program ini dijayakan pihaknya adalah untuk menyantuni masyarakat di daerah itu yang kebanyakannya terdiri daripada kaum Melayu.

“Seluruh golongan bergelar ibu bapa pastinya pada hujung tahun ini telah mengeluarkan perbelanjaan yang besar untuk menyempurnakan kelengkapan persekolahan anak-anak. Semoga dengan program ini sedikit sebanyak dapat meringankan bebanan ibu bapa.

“Kita memahami bahawa mutakhir ini banyak berlaku kenaikan harga barang dan sebagainya. Bagi golongan keluarga asnaf dan anak yatim, diharapkan dengan bantuan seperti ‘Back to School’ dan gunting rambut percuma ini, dapat mengurangkan keluhan mereka,” ujar beliau.

Sementara itu, tinjauan HarakahDaily menemukan seorang peserta, Mohamad Saifullah Mohd Rodi, 9, menzahirkan rasa gembira kerana dapat menyertai program gunting rambut percuma bersama rakan lain.

“Saya rasa seronok jumpa ramai kawan-kawan dan dapat makan nasi lemak di progam ini. Terima kasih YB,” ujarnya spontan ketika disapa semasa menunggu giliran menggunting rambut.

Program yang diadakan di Markas PAS Semanggol itu berlangsung dari pukul 9.00 pagi hingga jam 12.00 tengahari serta berpeluang menyampaikan sumbangan ‘Kit Toam’ dan saguhati tunai kepada adik Mohd Amirul Aiman Mohd Nor. – HARAKAHDAILY 29/12/2019

- Advertisement -