Gajah liar ‘berkampung’, tanaman dirosakkan

    - Advertisement -

    LENGGONG: Setelah sebulan ‘berkampung’ di kawasan ladang di Kampung Chepor dekat sini, belum ada tanda-tanda kumpulan gajah liar akan pulang semula ke habitatnya di Hutan Simpan Piah.

    - Advertisement -

    Malah, semakin lama berkampung di kawasan ladang milik pekebun-pekebun kecil di kampung itu, semakin banyak pokok-pokok getah, kelapa sawit dan pisang dirosakkan.

    Beberapa malam lalu ratusan pokok kelapa sawit milik seorang pekebun kecil, Mohd Noor Osman, 57, dipatah-patahkan pelepah serta pucuk dan diambil umbut, selain banyak yang ditumbangkan.

    Katanya, kerosakan itu akan menyebabkan dia kehilangan bakal pendapatan kira-kira RM1,500 sebulan untuk tiga empat tahun berdasarkan harga semasa sekarang ini.

    “Dua lot kebun saya itu berkeluasan 3 hektar berusia 12 tahun, telah beberapa tahun mengeluarkan hasilnya. Bila dah rosak macam itu, tiga empat tahunlah nak pulih semula,” katanya selepas tinjauan HarakahDaily bersama Pesuruhjaya PAS Negeri Perak, Razman Zakaria kelmarin.

    Mohd Noor memaklumkan, selain kelapa sawit, puluhan pokok getahnya juga dirosakkan kumpulan gajah liar itu.

    Menurutnya, pokok-pokok getah di kebunnya yang baru berusia tujuh tahun ditumbang, dikopak kulit dan dipatah-patahkan dahannya.

    Selain tanah sendiri, terangnya dia turut mengusahakan tanah milik penduduk yang tinggal di luar yang keseluruhannya seluas lebih 12 hektar dengan tanaman getah dan kelapa sawit.

    Jelas beliau, kira-kira RM60,000 telah dibelanjakan untuk majukan tanah lebih 12 hektar itu, termasuk membeli peralatan serta memasang pagar elektrik.

    Sementara itu, Razman berkata, masalah dihadapi pekebun-pekebun kecil di Kampung Chepor perlu ditangani dengan bersungguh-sungguh bagi mengatasinya.

    Menurutnya, penduduk yang mengusahakan tanah mereka dengan tanaman getah, kelapa sawit, pisang dan sebagainya, sebahagiannya tidak mendatangkan apa-apa hasil kerana gangguan kumpulan gajah liar.

    Jadi gesanya, pihak-pihak yang bertanggungjawab, khususnya Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) perlu mengambil tanggungjawab dengan serius.

    “Penduduk telah bersungguh-sungguh mengusahakan tanah mereka dengan tanaman getah, kelapa sawit, pisang dan sebagainya, tetapi  sebahagiannya tidak dapat apa-apa hasil kerana gangguan gajah.

    “Jadi pihak-pihak yang bertanggungjawab, khususnya PERHILITAN kena memandang serius kerana dari tanah itulah sumber pendapatan mereka,” katanya.

    Razman juga berkata, oleh kerana usaha penduduk tidak mendatangkan hasil berikutan terlalu banyaknya musuh tanaman, sebahagian besar mereka, khususnya anak-anak muda terpaksa berhijrah ke luar.

    Kesan daripadanya ujar beliau menyebabkan banyak kawasan pertanian yang berpotensi untuk dibangunkan bagi menjana ekonomi negara gagal dimajukan. – HARAKAHDAILY 29/12/2019

    - Advertisement -