Mansuh BIPK ‘lukakan’ perkhidmatan awam

- Advertisement -

TINDAKAN kerajaan melalui Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) untuk memansuhkan Bayaran Insentif Perkhidmatan Kritikal (BIPK) kepada 33 jawatan merupakan tindakan zalim yang melukakan hati Pegawai Perkhidmatan Awam terutamanya Pegawai Perubatan. Elaun Kritikal yang diperolehi merupakan insentif buat mereka yang bekerja melebihi tahap kebiasaan pekerja yang lain, tetapi tiba-tiba tidak lagi dianggap kritikal kononnya. Walaupun Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dimaklumkan telah mengarahkan penangguhan, namun ia tidak melegakan perasaan para penjawat awam.

Kerajaan PH sewajibnya mengkaji dan memahami rasional Elaun Kritikal yang diberikan sebelum ini. Contohnya Elaun Kritikal yang diterima oleh Pegawai Perubatan ialah RM750, pemansuhan bayaran ini menyaksikan perbezaan gaji hampir RM1,000 membunuh jiwa golongan muda untuk membina kerjaya awal mereka dalam perkhidmatan awam. Kewajaran penilaian JPA dalam menentukan status ‘kritikal’ perlu dilihat semula dalam keadaan suasana ekonomi yang tidak stabil, fakta angka dan statistik. Ternyata membuktikan profesion perubatan wajar diletakkan dalam ruang kritikal. Kerana berdasarkan Laporan Audit Negara, kesesakan di Hospital Awam, kekurangan tenaga perubatan menyebabkan Pegawai Perubatan dibebankan dengan pekerjaan yang banyak dan tempoh masa yang panjang. Tetapi gaji setimpal tidak diperolehi, maka mereka dianggap sebagai ‘underpaid’ dan ‘overworked’.

Cadangan mengecilkan saiz perkhidmatan awam juga sewajarnya setiap perjawatan yang diwujudkan telah dikaji dan dibuat justifikasi. Setelah disemak dan mempunyai kewajaran barulah perjawatan diluluskan. Kenyataan Kerajaan PH untuk mengurangkan saiz perkhidmatan awam seolah-olah mempertikai profesional kakitangan awam. Kerajaan tidak boleh mempertikai kesetiaan kakitangan awam kepada kerajaan dengan mengaitkan kerajaan lama kerana ia merupakan tindakan yang tidak matang dan tidak profesional.

Selaku bekas pesara kerajaan yang pernah memegang jawatan Presiden Persatuan Pegawai Kanan Kastam dan Timbalan Pengerusi Majlis Bersama Kebangsaan Sektor Awam, saya merasa kesal dengan tindakan dan kenyataan Kerajaan PH yang dianggap separuh masak. Salah seorang Menteri Kabinet sendiri mengatakan bahawa keputusan memansuhkan elaun BIPK tidak diketahui oleh semua anggota Kabinet sehinggalah kenyataan Menteri Kesihatan, Dr Dzulkefly Ahmad akan mengadakan pertemuan rasmi bersama JPA bagi membincangkan isu pemansuhan elaun tersebut. Ini sesuatu yang tidak sihat dalam pentadbiran kerajaan apabila setiap keputusan dilakukan dalam keadaan tergesa-gesa tanpa sebarang penilaian dan kajian terperinci. Ia pasti akan membawa kesan dan akibatnya, sehingga akhirnya Pegawai Perkhidmatan Awam sendiri yang terkena padahnya.

“Islam Memimpin Perpaduan”

YB HAJI RAZMAN ZAKARIA
Pesuruhjaya PAS Negeri Perak
ADUN Gunung Semanggol – HARAKAHDAILY 28/12/2019

- Advertisement -
- Advertisement -