Kaum India terima bantuan BTS PAS Titiwangsa

- Advertisement -

TITIWANGSA: Program kebajikan dan kemasyarakatan dianjurkan oleh PAS sudah tidak asing lagi pada hari ini, malah ia merupakan antara medium yang menjadi asbab PAS dekat di hati masyarakat.

- Advertisement -

Menurut Pengarah Program, Nur Hafizah Anuar, ‘Back to School’ (BTS) Kawasan Titiwangsa merupakan inisiatif PAS Kawasan dalam meringankan tanggungan 60 keluarga penerima.

Program penyerahan bantuan awal persekolahan yang terdiri daripada kewangan dan beg galas kepada penerima itu telah dirasmikan oleh Yang DiPertua PAS Titiwangsa, Khairul Anuar Abdul Manap.

Sebelum majlis penyampaian diteruskan, seluruh hadirin terlebih dahulu telah dihidangkan dengan penyampaian motivasi oleh tetamu jemputan iaitu Timbalan Ketua Ameerah Kawasan Batu, Iffah Nabilah Abdullah Sany.

Pensyarah muda jurusan undang-undang itu telah berkongsi tips bahawa sebagai golongan muda, sewajarnya ‘gila-gila’ dalam konteks kesungguhan kehidupan terutamanya untuk belajar.

“Tips DUIT yang terdiri daripada doa, usaha, ikhtiar dan tawakal harus menjadi pegangan kehidupan oleh seluruh hadirin hadirat yang hadir pada hari ini bagi menggapai kejayaan dalam kehidupan,” kongsinya.

Hasil temuramah, salah seorang penerima bantuan BTS berbangsa India, Sivalingam Muthu berkata, beliau amat terharu kerana kedua orang anaknya yang kini masih bersekolah menerima bantuan daripada PAS Titiwangsa.

“PAS memang terbaik sebab PAS banyak membantu masyarakat meskipun bukan musim pilihan raya. Hal ini yang membuat saya tertarik dengan PAS dan memberi undi kepada mereka di dalam pilihan raya,” ujarnya.

Sepanjang mengenali PAS, beliau turut mengakui bahawa PAS bukanlah sebuah parti ekstremis yang membezakan atau merendahkan mana-mana kaum, malah baginya PAS merupakan pilihan yang sangat tepat untuk orang ramai.

Program tahunan anjuran Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan Muslimat PAS Titiwangsa ini mendapat kolaborasi dari entiti muda Ameerah dan Pemuda PAS bagi memastikan kelancaran program.

Ianya melibatkan penganjuran di tiga Zon di Titiwangsa antaranya Zon Keramat, Zon Pandan dan Zon Kampong Baru ini. – HARAKAHDAILY 28/12/2019

- Advertisement -