Tahniah Persidangan Dong Zong batal

Kecam Menteri Perpaduan terus bersikap api-apikan bantahan Jawi

- Advertisement -

PAS menyanjung tinggi tindakan cepat dan bijaksana pihak Polis IPD Kajang yang telah memohon dan mendapat perintah ex-parte dari Mahkamah Majistret Kajang untuk pihak Dong Zong tidak meneruskan Persidangan Membantah Isu Tulisan Jawi yang akan diadakan pada 28 Disember esok di Kolej New Era, Kajang.

- Advertisement -

PAS juga berterima kasih kepada Majistret Syahrul Sazly Md Sain, yang telah mengeluarkan perintah ex-parte ini atas asas “bagi mengelakkan suatu perbuatan yang mengganggu ketenteraman awam atau mendatangkan bahaya kepada nyawa atau keselamatan manusia atau rusuhan atau gaduh gempar jika persidangan diadakan”.

PAS juga mengucapkan tahniah kepada 40 NGO yang telah beramai-ramai membuat laporan polis di IPD Kajang semalam bagi menghalang Persidangan Membantah Isu Tulisan Jawi dari diteruskan dan bagi mendesak Dong Zong dan Jiao Zong disiasat dan seterusnya diharamkan.

Masa sama, PAS ingin menzahirkan kekecewaan kepada Menteri Perpaduan dan Kesejahteraan Sosial, P Waytha Moorthy, yang gagal menangani isu ini malah mengapi-apikan lagi tentangan ke atas tulisan Jawi dengan:

(1) Menyatakan dalam MalaysiaKini pada 11 Ogos 2019 bahawa beliau tidak bersetuju dengan hasrat kerajaan untuk memperkenalkan tulisan Jawi dalam buku teks Bahasa Malaysia Darjah 4 di sekolah vernakular.

(2) Mempertahankan hak dan menggalakkan dalam MalaysiaKini pada 17 Disember 2019 Dong Zong untuk menganjurkan Persidangan Membantah Isu Tulisan Jawi atas dasar kebebasan bersuara.

Lanjutan itu, PAS sekali lagi mendesak agar P Waytha Moorthy dilucutkan dari jawatan Menteri Perpaduan dan Kesejahteraan Sosial kerana sudah terlalu banyak tindakan dan kenyataan beliau yang menampakkan beliau langsung tiada wibawa.

“Islam Memimpin Perpaduan”
“Muafakat Nasional Membina Malaysia Sejahtera”

KAMARUZAMAN MOHAMAD
Ketua Penerangan
Parti Islam Se-Malaysia (PAS) – HARAKAHDAILY 27/12/2019

- Advertisement -