Mansuh BIPK hancurkan harapan penjawat awam

Kerajaan Sarawak disaran bantu, depani kebajikan

- Advertisement -

PEMANSUHAN Bayaran Insentif Perkhidmatan Kritikal (BIPK) adalah tidak wajar hanya semata-mata untuk menjimatkan tanggungan kerajaan. Apatah lagi elaun ini tidak lagi diberikan kepada pegawai baru perkhidmatan awam di 33 skim perkhidmatan yang terlibat termasuk di Sarawak. Kerajaan sepatutnya menilai dengan teliti kriteria yang digunakan dalam kaedah pemansuhan elaun penjawat awam seperti mana amalan kebiasaan dalam sistem pentadbiran kerajaan. Ternyata pertimbangan yang dibuat menurut pekeliling yang dikeluarkan oleh kerajaan adalah tidak adil untuk golongan perkhidmatan awam tersebut terutama di dalam sektor perubatan termasuk di Sarawak. Seperti mana pengumuman pemberian bonus kepada Penjawat Awam Persekutuan yang berkhidmat di Sarawak oleh Kerajaan Negeri, mungkin juga boleh dipertimbangkan pemberian elaun khas atau kritikal ini kepada doktor-doktor muda yang mula berkhidmat di Sarawak. Ini akan menarik minat mereka untuk terus berkhidmat di Sarawak memandangkan Kerajaan Persekutuan kelihatan terus menghancurkan harapan mereka.

Memetik kenyataan pekeliling, selepas semakan kali terakhir pada 2007, kajian terbaharu dilaksanakan pada 2019 dan didapati kesemua 33 skim perkhidmatan yang diperuntukkan dengan BIPK tidak lagi menepati kriteria pemberian asal BIPK iaitu mempunyai ciri-ciri penawaran yang rendah serta pengisian jawatan sukar dilakukan. Atas sebab itu, Mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Pembaharuan Perkhidmatan Awam (JKK-PPA) Bilangan 1 Tahun 2019 yang dipengerusikan oleh YAB Perdana Menteri memutuskan supaya BIPK perlu dikekalkan kepada penerima sedia ada mengikut kadar sedia ada, walau bagaimanapun bersetuju tiada pemberian BIPK kepada pegawai lantikan baharu. Ini adalah berita untuk selepas golongan muda ditipu oleh manifesto pemansuhan PTPTN. Kini selain menanggung beban hutang, mereka juga akan berhadapan kerja-kerja berat tanpa penghargaan, bayaran serta perlu menanggung sara hidup mereka sendiri sebagai kumpulan yang baru memulakan karier pekerjaan.

Bukan setakat itu, motivasi mereka akan turut merudum kerana kebiasaan apabila seseorang baru memulai kerja cenderung dibebankan dengan beban kerja yang banyak sedang pegawai sebelum mereka menikmati elaun yang mereka tidak nikmati. Sebagai contoh pegawai perubatan yang siang malam berhempas-pulas ke hospital untuk memberi khidmat. Kerajaan Pakatan Harapan (PH) tidak sedar dan merasa kesusahan semua lapisan masyarakat yang terbeban dengan ekonomi semasa. Sepatutnya keutamaan kerajaan perlu diberikan kepada Menteri-menteri yang memiliki elaun yang masih tinggi seperti berikut; Gaji pokok, Elaun keraian, Elaun perumahan (elaun ini masih boleh dituntut walaupun Menteri mempunyai kediaman sendiri), Elaun wakil rakyat, Elaun parkir kenderaan. Selain itu kerajaan perlu menyemak semula insentif lain seperti percutian ke luar negeri, bil percuma, perkhiasan rumah, kereta,  derma dan elaun rumah terbuka. Sudah pasti rakyat akan merasa senang hati dengan tindakan wajar kerajaan mengurangkan sebanyak 70 peratus elaun-elaun Menteri ini kerana tumpuan utama kini adalah penjimatan kewangan kerajaan.

Pemansuhan elaun ini perlu mengambil kira nasib penjawat awam yang terbabit di Sarawak. Fasiliti tempat bekerja, keadaan muka bumi dengan infrastruktur awam yang belum cukup baik seperti di Semenanjung. Oleh yang demikian, memandangkan Kerajaan Sarawak memiliki kewangan yang kukuh, maka sewajarnya Kerajaan Negeri mempertimbangkan kaedah atau instrument yang boleh difikirkan bagi membantu penjawat awam  terbabit yang berkhidmat di Sarawak. Ini sudah pasti akan menjadi praktis yang boleh dicontohi negeri-negeri lain termasuk Kerajaan Persekutuan yang terbukti gagal mengurus negara dengan baik.

ZHARUDIN NARUDIN
Ketua Penerangan PAS Sarawak – HARAKAHDAILY 27/12/2019

- Advertisement -
- Advertisement -