Khalifah’s Journey 3.0 dapat sambutan hangat

- Advertisement -

BUKIT GANTANG: Khalifah’s Journey kali ketiga telah mendapat sambutan menggalakkan pada program yang berlangsung di Masjid Al-Ahmadi, Changkat Ibol, dekat sini kelmarin.

- Advertisement -

Program anjuran Nisa’ Bukit Gantang ini adalah untuk membentuk anak-anak menjadi seorang hamba yang beriman serta khalifah bertakwa kepada Allah S.W.T di muka bumi ini.

Bukan itu sahaja, program ini juga memotivasikan diri menjadi anak yang soleh serta berpengetahuan luas dalam pengurusan jenazah dari segi teori dan praktikalnya.

Penyertaan pada kali ini sangat memberangsangkan di mana 132 peserta lelaki dan perempuan telah mengambil bahagian dan melebihi sasaran telah ditetapkan penganjur.

Yang DiPertua PAS Kawasan Bukit Gantang, Ustaz Muhammad Faisal Abdul Rahman memuji program khas kepada kanak-kanak itu sebagai satu pengisian berfaedah cuti persekolahan.

Beliau menyeru peserta mengambil manfaat serta pengajaran yang disampaikan penceramah dan fasilitator sepanjang program ini kerana ia merupakan ilmu pengetahuan.

Katanya, ianya berguna kepada diri, keluarga dan masyarakat apabila mereka melangkah di usia remaja kelak.

“Sebagai khalifah di muka bumi ini, kita mesti menjadi seorang yang bijaksana dan berpengetahuan luas khususnya dalam ilmu-ilmu Islam. Dengan itu, kita dapat mentadbir bumi ini dengan bimbingan dan panduan daripada Allah S.W.T serta tidak tunduk kepada bisikan jahat manusia, Iblis atau syaitan,” peringatnya.

Pihak menganjur menjemput Ahmad Iqmal Jamil daripada Iqmal Consultancy untuk menyampaikan pengisian berkaitan Motivasi Anak Soleh dan Kursus Pengurusan Jenazah Muslimin.

Manakala Ahli Jawatankuasa Masjid Al-Ahmadi Changkat Ibol, Jiaranah Yahaya pula memberi tunjuk ajar dan perkongsian dalam slot amali Pengurusan Jenazah Muslimat.

Sementara itu, pihak Jawatankuasa Masjid Al-Ahmadi Changkat Ibol turut menyumbang dalam menyediakan tempat program dan jamuan makan untuk peserta dan urusetia program ini. – HARAKAHDAILY 27/12/2019

- Advertisement -