Kelantan aktif semula Majlis Penghulu Mukim

    Mohd Amar bersalaman dengan orang ramai selepas menyampaikan kuliah di Medan Ilmu.
    - Advertisement -

    KOTA BHARU: Kelantan akan mengaktifkan semula Majlis Penghulu Mukim (MPM) sekiranya kerajaan Persekutuan gagal memberi kata putus terhadap cadangan penubuhan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung Persekutuan (MPKKP).

    - Advertisement -

    Timbalan Menteri Besar, Dato’ Mohd Amar Abdullah berkata, MPM sebelum ini ditangguhkan sementara bagi menyahut seruan kerajaan Persekutuan menjenamakan semula Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK).

    “Mengenai MPKKP kerajaan Persekutuan tidak tidak berbincang pun dengan kita (negeri). Baru ini kita hantar surat rasmi bagi memudahkan urusannya untuk tahun hadapan, sekarang tiada jawapan rasmi lagi.

    “Jadi kalau mereka tidak mahu bekerjasama dalam perkara ini, maka kita akan balik semula kaedah asal ini (MPM), fungsi sama cuma berbeza dari sudut struktur sahaja,” katanya selepas menyampaikan kuliah di Medan Ilmu hari ini.

    Baru-baru ini Penyelaras MPKKP Kelantan, Dato’ Sazmi Miah dilapor memberitahu akhir tahun ini terbatal penubuhan MPKK di negeri yang diterajui pembangkang memandangkan kerajaan pusat mewujudkan MPKKP.

    Mohd Amar berkata, kata putus secara rasmi mengenai penubuhan MPKKP hanya boleh dibuat Menteri Pembangunan Luar Bandar, Dato’ Seri Rina Harun sebagai anggota jemaah kabinet dan bukannya pihak lain. – HARAKAHDAILY 27/12/2019

    - Advertisement -