Jawi bukan mengislamkan pelajar

- Advertisement -

POLEMIK isu tulisan jawi atau khat sebenarnya tidak perlu diperbesarkan atau dijadikan isu malah harus diterima dengan hati terbuka oleh semua pihak.

- Advertisement -

Pengenalan tulisan jawi dan khat kepada pelajar tahun 4 dalam buku teks Bahasa Malaysia di semua sekolah bermula tahun depan sebenarnya adalah lebih kepada bertujuan untuk menerapkan nilai warisan dan sejarah Bahasa Melayu serta identiti negara.

Ini adalah kerana Bahasa Melayu diajar di sekolah-sekolah di zaman sebelum merdeka dahulu dengan menggunakan tulisan jawi. Dengan memperkenalkan tulisan jawi, maka pelajar – pelajar dapat memahami sejarah asal dan warisan Bahasa Melayu sebelum diperkenalkan tulisan Roman kepada Bahasa Melayu. Ia juga adalah identiti asal negara walau mempunyai berbilang agama, bangsa dan kaum.

Namun alasan yang dikemukakan oleh Setiausaha Agung Dong Zong, Ng Chai Heng bahawa ketakutan ibubapa bukan Melayu dan Islam bahawa pengajaran tulisan jawi kepada pelajar – pelajar di sekolah vernakular akan mengislamkan pelajar- pelajar terbabit adalah cukup tidak masuk akal. Malah beliau sendiri belajar tulisan jawi di sekolah satu ketika dulu pun tidak masuk Islam.

Malah saya pasti dan pernah bertemu dengan warga emas bukan Melayu dan Islam di sekitar Kelantan dan Terengganu yang masih tahu menulis dan membaca jawi.

Malah ada juga anak muda bukan Melayu dan Islam yang tahu menulis dan membaca jawi. Mereka ini masih memeluk agama asal mereka dan mengamalkan adat resam serta budaya mereka. Jadi adalah tidak masuk akal alasan akan berlaku pengislaman pelajar sekolah vernakular jika belajar tulisan jawi atau khat.

Namun yang menjadi kemusykilan bagi saya ialah siapa yang melemparkan naratif kotor dan jijik ini sehingga membuat ramai tidak selesa dan menjadi polemik di seluruh negara. Ini yang sebenarnya harus disiasat untuk kita tahu apa niat dan tujuannya melemparkan tuduhan sebegini dan bukannya menghalang pelajar – pelajar belajar mengetahui asal usul, warisan dan identiti Bahasa Melayu.

YB USTAZ MUHAMMAD KHALIL ABDUL HADI

Ahli Jawatankuasa PAS Pusat

Adun Batu Burok – HARAKAHDAILY 27/12/2019

- Advertisement -