Tiada jurulatih bola yang kekal

- Advertisement -

DEMI membangunkan pasukan bola, Malaysia sejak sekitar dua dasawarsa lalu sanggup buat apa saja asal pasukan bola nasional dapat bersaing dengan negara-negara serantau, kalau tidak mengungguli bola Asia,sekurang-kurangnya jadi yang terhandal rantau ASEAN.

- Advertisement -

Dari persatuannya dipimpin oleh orang-orang istana, kini dikembalikan semula dipimpin oleh rakyat biasa, pencapaian bola kita ‘pi mai-pi mai duk tang tu’ juga.

Terbaru dalam Sukan SEA di Filipina harapan kita cukup tinggi. Jika tidak jadi juara, sekurang-kurangnya dapat masuk suku akhir. Justeru bola itu bulat untuk kumpulan paling awal, kita tidak dapat menjadi juara. Sekadar seri dengan Myanmar dan hanya menang dengan Timur Leste. Kita harap boleh tumbangkan Kampuchea, rupanya Kampuchea memalukan kita.

Kita punya jurulatih yang boleh dikira ada nama di Asia. Banyak kejayaannya membangunkan pasukan bola negara. Kita beri penuh sokongan dan bagi apa jua bantuan yang dikehendakinya.

Saya tidak tahu ilmu bolasepak dan permainannya di padang, tetapi jurulatih kita dikira yang terbaik. Saya tidak tahu apa kelemahnnya, tetapi pasukannya gagal menempa kejayaan di Sukan SEA di Manila. Saya tidak tahu akan kekuatan dan kekurangan pemain yang diturunkannya, tetapi tentunya telah menurunkan orang yang terbaik.

Kerana bola itu bulat pasukan kita tidak bernasib baik, gagal menyerlah. Semuanya memberi harapan yang tinggi kepada jurulatih sebelum masuk padang. Kerana keputusan yang mengecewakan semua kecewa dengan jurulatih hingga khidmat ditamatkan sebelum temasya sukan di Manila itu melabuh tirai.

Adakah ada bola itu begitu? Jurulatih itu berguna selagi pasukannya menang. Dan bila dia tidak menang maka nasibnya sama seperti pemain yang tidak cemerlang di padang.

Sebelum ini kita menggunakan khidmat jurulatih yang dikira terhandal juga di Eropah. Biasanya yang kita pilih tentulah antara yang terbilang dalam kalangan bola Eropah.

Dia pindah ke sini. Dia pilih pemain kita yang terhandal. Tetapi kaki pemain kita sudah begitu. Sejak sekian lama. Pasukan kita sememangnya tiada kelas pada peringkat serantau. Jurulatih dari Eropah tidak dapat menjampi supaya kaki para pemain itu berubah sekelip mata. Keupayaan mereka tidak dapat diubah dalam masa beberapa minggu atau beberapa bulan. Tidak pernah menang selama dalam tempoh latihannya.

Dia tidak meneruskan khidmatnya setelah tidak dapat memberikan keajaiban. Dia balik ke Eropah setelah tidak dapat mengubah kaki pemain kita.

Begitulah keadaan jurulatih kita.Setelah dicuba gagal menyerlah, lalu dibuang , cari lan. Setelah beberapa bulan, tukar pula dengan yang lain. Akhirnya habis jurulatih tempatan berbakat. Ambil orang putih kaki pemain tidak boleh diganti.

Tetapi jurulatih juga seperti pemain memerlukan masa, pengalaman dan macam-macam. Ada taktik dan strategi yang berjaya dan ada yang gagal. Tetapi mereka wajar diberi masa. Bila mereka banyak pengalaman, maka mereka boleh adakan macam-macam percubaan dan taktik permainan. Pengalamanlah yang lazimnya membantu kejayaan.

Dulu macam-macam yang dicuba oleh pimpinan bola dari istana. Setelah itu digantikan dengan oang istana juga. Akhirnya cuba pula dengan pimpinan istana yang lain kerana kelab bola dilihat cemerlang dan berjaya. Mungkin kerana kaki pemain dari buku lali tidak digantikan kaki lain, rentak permainan agaknya tidak makan cekak. Pimpinan bola diserahkan kepada rakyat biasa.

Kita tukar pemimpin seperti kita tukar jurulatih. Kita tukar jurulatih seperti tukar pemain. Akhirnya tiada lagi jurulatih berpengalaman dan berwibawa. Kita biarkan pemain masuk padang macam anak ayam ketiadaan ibu.

Semasa Tunku jadi PM, dia terlibat dengan persatuan sukan. Bola pun ada kelas. Zaman Mahathir ini, PMnya tidak minat apa-apa sukan. Maka pemain kita macam kaki PMnya juga. – HARAKAHDAILY 26/12/2019

- Advertisement -