Sokong kerajaan negeri selamatkan Cameron Highlands

Tegas banteras pencerobohan dan penerokaan haram

- Advertisement -

PAS Pahang menyokong penuh tindakan Kerajaan Negeri dalam mengambil tindakan terhadap isu pencerobohan yang berlaku di rizab sungai dan rizab jalan yang berada dalam kawasan tadahan air Kuala Terla khususnya Sungai Ichat di bawah Mukim Ulu Telom baru-baru ini.

Loji Air Kuala Terla adalah penting kerana ianya menjadi sumber air kepada lebih 70 peratus keperluan air bersih di Cameron Highlands yang melibatkan 8,332 akaun pengguna. Penerokaan tanah secara haram dan tanpa kawalan bukan sahaja  mengundang risiko berlakunya tanah runtuh malahan penerokaan tanah haram bagi aktiviti pertanian di kawasan berhampiran sumber air juga akan terdedah kepada berlakunya keracunan.

Kerana itulah pihak kerajaan terpaksa melakukan operasi bagi mengelakkan kawasan tadahan air (water catchment) untuk muka sauk (intake) Ipoh Road di Kuala Terla daripada terus tercemar dengan aktiviti pertanian akibat penggunaan racun dan baja. Tindakan ini sangat bersesuaian bagi tujuan memelihara kepentingan rakyat.

- Advertisement -


PAS Pahang bukan sahaja menyokong tindakan ini, malah mengharapkan pihak Kerajaan Negeri terus menerus berusaha membanteras pencerobohan yang mendatangkan akibat buruk pada rakyat tidak kira di mana sahaja bukan hanya di Cameron Highlands dan tindakan tegas  mesti diambil kepada sesiapa sahaja tanpa mengira bangsa dan kaum sekalipun.

Bagi PAS, kepentingan dan keselamatan rakyat adalah menjadi keutamaan. Dalam menyokong sesuatu tindakan, ketegasan pihak kerajaan dan YAB Menteri Besar Pahang dalam isu ini adalah bertepatan dengan tujuan untuk memelihara kepentingan rakyat secara keseluruhannya.

PAS menyarankan agar mana2 pihak yang ingin memajukan tanah sama ada untuk pertanian atau apa-apa aktiviti sekalipun agar dapat mematuhi syarat dan undang-undang dan berharap agar pihak kerajaan juga mempermudahkan lagi urusan kepada mereka yang layak agar kes pencerobohan tanah haram ini dapat dikurangkan seterusnya dapat dibendung.

“Islam Memimpin Perpaduan”

YB USTAZ ROSLI ABDUL JABAR
Pesuruhjaya PAS Pahang- HARAKAHDAILY 26/12/2019

- Advertisement -