PAS sedia bincang, dialog dengan MCA dan DJZ

- Advertisement -


PAS sebagai sebuah wadah politik yang ditubuhkan hampir 70 tahun yang lalu sentiasa terbuka untuk mengadakan sebarangan perbincangan dan dialog dengan mana-mana pihak dalam semua perkara yang berkepentingan awam, termasuk dengan MCA dan Dong Jiao Zong (DJZ).

- Advertisement -

Perkara ini adalah selaras dengan ajaran Islam yang menjadi pegangan PAS malahan ianya tercatat dalam Perlembagaan PAS, iaitu PAS boleh bekerjasama dengan pertubuhan-pertubuhan lain bukan sahaja bagi memperjuangkan hak dan kepentingan umat Islam di negara ini, tapi juga bertanggungjawab melaksanakan keadilan terhadap seluruh rakyat Malaysia serta memastikan keharmonian antara semua kaum.

Bagi merealisasikan hasrat tersebut, Mesyuarat Jawatankuasa Kerja PAS Pusat pada awal Disember 2019 yang lalu telah bersetuju menubuhkan satu jawatankuasa khas yang dinamakan Jawatankuasa Mahabbah PAS – MCA dipengerusikan oleh Naib Presiden PAS, YAB. Dato’ Seri Dr. Ahmad Samsuri bin Mokhtar, yang juga Menteri Besar Terengganu. Jawatankuasa ini dianggotai oleh sebilangan pimpinan kanan PAS yang mempunyai latar belakang yang pelbagai, termasuk para profesional selain agamawan.

PAS turut menyambut baik kesediaan pihak Dong Zong dan Dong Jiao Zong untuk mengadakan dialog dengan semua pihak bagi menyelesaikan isu bantahan tulisan Jawi.


PAS turut bersedia menyertai dialog tersebut dan yakin kaedah berdialog akan memurnikan segala isu berbangkit, menghilangkan prejudis dan syak wasangka yang akhirkan akan mewujudkan keharmonian dan kesejahteraan dalam masyarakat Malaysia yang berbilang kaum ini.

Terima kasih.


DATO’ TAKIYUDDIN HASSAN
Setiausaha Agung PAS
Bertarikh: 26 Disember 2019 – HARAKAHDAILY 26/12/2019

- Advertisement -