PAS Lumut bantah arak dijual bebas cukai

    - Advertisement -

    LUMUT: Penjualan arak secara berleluasa kerana bebas cukai pasti membawa kesan negatif yang menjejaskan keharmonian bahkan keselamatan penduduk pulau peranginan, Pulau Pangkor.

    - Advertisement -

    Yang DiPertua PAS Kawasan Lumut, Rosli Abdul Rahman berkata, pihaknya terpanggil menyuarakan bantahan memandangkan Pulau Pangkor terletak dalam Kawasan Lumut.

    Bidas beliau, kesan penjualan arak akan meningkatkan risiko kemalangan jalan raya, pergaduhan dan keretakan rumah tangga, selain menyuburkan perlakuan jenayah dan maksiat.

    Malah ulas Rosli, lebih daripada itu, keburukan tersebut bukan hanya terhad kepada kesan di pulau tersebut, tetapi juga kawasan-kawasan di sekitarnya.

    Kebimbangan tersebut disuarakan beliau berikutan kenyataan Exco Pelancongan Kerajaan Negeri Perak, Tan Kar Hing mengenai kemungkinan arak disenarai sebagai item bebas cukai di pulau itu.

    “Amat malang sekali sekiranya cadangan daripada Exco Kerajaan Negeri ini diterima, seolah-olah kehabisan idea yang produktif untuk mempromosikan Pulau Pangkor sebagai destinasi pelancongan,” tempelaknya.

    Menurut Rosli, pelbagai aktiviti lain yang lebih bermanfaat boleh dilaksanakan seperti memperbaiki infrastruktur pulau, mempromosi sukan air lebih menarik dan pemuliharaan alam sekitar.

    Beliau yang juga Pengerusi Lajnah Pengguna dan Pekerja PAS Perak berharap cadangan tersebut ditolak rakyat negeri ini khususnya penduduk Parlimen Lumut. – HARAKAHDAILY 26/12/2019

    - Advertisement -