‘Media Meet & Greet’ raikan sukarelawan

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Jabatan IT dengan kerjasama Lajnah Penerangan dan Media Baru Muslimat PAS Malaysia telah menganjurkan program ‘Media Meet and Great 1.0’ (MeMG 1.0) bertempat di Masjid Usamah bin Zaid, Wangsa Maju di sini baru-baru ini.

- Advertisement -

Menurut Pengarah MeMG 1.0, Nurul Johari, penubuhan pasukan sukarelawan media sejak tahun 2016 sehingga kini telah berjaya mengumpulkan lebih 180 sukarelawan penggerak media daripada seluruh negeri dan luar negara.

“Antara objektif program ini diadakan adalah sebagai satu platform untuk meraikan penggerak media yang telah mengembleng tenaga menggerakkan media DMPM di samping mengeratkan lagi ukhuwah di antara sukarelawan yang selama ini hanya berinteraksi melalui media sosial sahaja,” ujarnya.

Program ini diserikan lagi dengan ucapan perasmian serta taujihat oleh Ketua Muslimat PAS Malaysia, Senator Ustazah Nuridah Mohd Salleh berkaitan kepentingan ikhlas dalam menjalankan gerak kerja PAS.

Turut hadir, Ketua Penerangan Muslimat PAS Malaysia, Dr Najihatussalehah Ahmad bagi menyampaikan slot berkaitan gerak kerja Lajnah Penerangan dan Media Baru sebagai salah satu pengisian program ini.

“Lajnah Penerangan menjadi satu sendi yang penting untuk memastikan rakyat jelas dengan isu semasa dan tidak terperangkap dengan idealogi yang cuba diserapkan oleh musuh Islam melalui media sosial terutamanya.

“Jika kita tidak menjadi agen kepada penerangan, jangan salahkan PAS andai kalah dalam pilihan raya akan datang,” tegas Dr Najiha.

Selain itu, sesi taklimat diteruskan dengan penyampaian oleh Pengarah Jabatan IT Muslimat PAS Malaysia, Jazlina Shafawi menjelaskan skop bidang tugas dan hasrat kepada seluruh sukarelawan. – HARAKAHDAILY 26/12/2019

- Advertisement -